Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Bangunan Umno di Kedah diconteng 'R4MASI 2.0'

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir menasihati anggota Umno di negeri itu agar tidak bertindak di luar batas susulan perbuatan pihak tertentu yang menconteng perkataan 'R4MASI 2.0' di beberapa bangunan Umno Kedah.

    

Sambil menyifatkan perbuatan itu dilakukan oleh "pihak yang dangkal akal", Mukhriz meminta anggota dan penyokong Umno menyerahkan kepada polis untuk menyiasat.

"Saya juga minta pihak polis mengawasi pejabat-pejabat semua parti politik supaya insiden sama tidak berulang," katanya dalam kenyataan di Alor Setar hari ini.

    

Dinding Bangunan Tunku yang menempatkan pejabat Umno Kedah antara lokasi yang diconteng perkataan tersebut.

    

Mukhriz yang juga pengerusi perhubungan Umno Kedah, turut meluahkan kebimbangan dengan provokasi terbaru itu.

    

"Saya bimbang hasutan sesetengah pemimpin akan menggalakkan penyokong mereka menjadi taksub dan hilang pertimbangan hingga bertindak di luar batasan.

    

"Kita bimbang jika tidak dibendung dengan segera, ia boleh menimbulkan masalah yang lebih sukar dan rumit untuk ditangani sehingga mendatangkan kerugian kepada semua pihak khususnya rakyat Kedah sendiri," katanya.

    

Sementara itu, Setiausaha Kerja Umno negeri Haris Che Mat berkata kejadian tersebut disedari oleh pengawal keselamatan yang bertugas pada pukul 5.30 pagi tadi.

    

"Ini merupakan kali kedua bangunan diconteng, kejadian pertama berlaku sebelum pilihan raya umum ke-13 diadakan dan tindakan ini dilihat sebagai provokasi," katanya kepada pemberita di Alor Setar hari ini.

    

Beliau berkata selain Bangunan Umno, pejabat Umno Bahagian Jerai, bangunan kerajaan di Langkawi, papan tanda di Pendang dan van milik Umno Kubang Pasu turut diconteng dengan perkataan yang sama.

    

"Kita percaya bahawa perbuatan ini ada kaitan dengan Himpunan Derita Rakyat Baling 2.0 yang akan diadakan Sabtu di Baling dan jika benar, kita minta supaya polis menarik semula permit bagi mengadakan himpunan," katanya.

    

Beliau berkata laporan polis mengenai perkara itu sudah dibuat dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) Bangunan Tunku juga sudah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

    

- Bernama

ADS