Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khutbah gesa kajian teliti sebelum cukai baru
Diterbitkan:  Apr 4, 2014 8:51 AM
Dikemaskini: 8:05 AM

Khutbah Jumaat kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) hari ini mengingatkan bahawa sebarang langkah memperkenal dasar percukaian baru mesti dibuat berdasarkan kajian teliti supaya tidak membebankan.

Mimbar berhujah, berdasarkan pandangan Imam Abu Yusuf, ulama dalam bidang percukaian Islam, sesebuah negara boleh menaik atau menurunkan kadar cukai mengikut kemampuan rakyat.

“Pandangan Imam Abu Yusuf ini amat tepat kerana untuk mewujudkan dasar percukaian baru perlu dibuat kajian teliti supaya tidak membebankan rakyat dan pengguna terutama golongan daif dan miskin,” teks khutbah itu dipetik.

Khutbah yang disediakan untuk masjid-masjid di Wilayah Persekutuan itu berjudul “Memakmurkan Ekonomi Tanggungjawab Bersama”.

Sementara itu, khutbah juga menegur budaya melengah-lengahkan membayar cukai dan berhutang melibatkan masyarakat Islam.

“Cuba bayangkan berapa banyak kerajaan terpaksa menanggung kerugian akibat budaya hidup sebegini, berapa banyak projek pembangunan yang dirancang tidak dapat dilaksanakan dengan sewajarnya,” menurut khutbah itu lagi.

Perbuatan tidak membayar cukai, tegasnya, adalah sama seperti lari daripada membayar hutang.

“Rakyat akan mengalami kesulitan dan negara akan mengalami kelembapan ekonomi disebabkan ada golongan yang cuai membayar hutang.

“Takutlah kepada Allah SWT kerana mereka yang berhutang tidak diampuni dosanya oleh Allah SWT.

Kerajaan akan memperkenalkan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada April tahun depan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Langkah ini ditentang keras oleh pembangkang.

ADS