Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Anggota Parlimen Pakatan Rakyat mendakwa lebih 80 guru di daerah Bachok, Kelantan dipindahkan sekolah atas alasan politik.

Merujuk kepada dokumen bocor kepada Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), NGO yang dekat dengan PKR, mereka mendakwa langkah itu diambil semata-mata guru itu penyokong Pakatan atau berkahwin dengan penyokongnya.

Naib Presiden PKR Tian Chua turut membacakan dokumen itu yang antaranya menyebut guru yang ditukarkan itu sebagai “penyokong setia parti pembangkang”, “mengibarkan bendera parti pembangkang” dan “suami terlibat mengetuai konvoi kereta PAS”.

Turut bercakap di lobi Parlimen Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Bachok) yang berkata, perkara itu mungkin kecil kerana hanya berlaku di Bachok.

Bagaimanapun, katanya, beliau percaya ia berlaku di seluruh negara dan akan mendedahkan maklumat lanjutnya kemudian.

Turut disebut dalam senarai itu termasuk “jentera kempen PAS dan isteri kepada Husam Musa ( kiri )”.

Senarai itu ditunjukkan kepada pemberita tetapi salinannya tidak diedarkan bagi menyembunyikan identiti guru yang terlibat.

Pegawai: Pindahan tak dibuat

Pegawai pelajaran Bachok Amran Mustapha ketika dihubungi mengesahkan terdapat senarai itu tetapi “ia bukan rasmi”.

Katanya, ia “senarai lama” yang dikumpulkan oleh pegawai pelajaran daerah lama yang tidak lagi bertugas di Bachok.

“Tiada perpindahan dibuat berdasarkan senarai ini,” jelas Amran, yang menyertai pejabat pelajaran Bachok minggu lepas.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memberikan alasan kenapa pejabat pelajaran daerah mengesan sama ada guru-guru menjadi penyokong Pakatan.

[Baca berita penuh]

ADS