Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hakim letak jawatan sebelum 60 tahun layak faedah bersara

Golongan hakim yang meletak jawatan sebelum mencapai umur 60 tahun tetapi telah berkhidmat sebagai hakim tidak kurang dari lima tahun layak mendapat faedah persaraan apabila pindaan Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) diluluskan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri berkata tarikh kuat kuasa bagi pindaan berkenaan dicadangkan bermula pada 1 Julai 2013.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-undang Saraan Hakim (Pindaan) 2013 semasa persidangan Parlimen semalam.

"Ini adalah satu penambahbaikan daripada kerajaan yang prihatin bagi mengenang serta menghargai jasa golongan hakim yang telah memberikan sumbangan bakti kepada negara semasa mereka berkhidmat.

"Semoga dengan penambahbaikan yang dilakukan ini dapat memberi dorongan kepada golongan ini untuk terus berkhidmat secara produktif dan menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cemerlang demi kesejahteraan rakyat," katanya.

Nancy berkata pada masa ini, hakim yang meletak jawatan sebelum mencapai umur 60 tahun tidak layak mendapat faedah persaraan, termasuk pencen dan ganjaran.

"Keadaan ini memberikan kekangan kepada golongan hakim yang mempunyai masalah kesihatan atau tidak mempunyai keupayaan dari segi fizikal untuk meletak jawatan sebelum mencapai umur 60 tahun.

"...walaupun mereka tidak berupaya untuk melaksanakan beban tugas mereka yang berat sebagai pembuat keputusan bagi kes-kes mahkamah yang sesetengahnya memakan masa sehingga berbulan-bulan lamanya seperti perbicaraan kes-kes jenayah," katanya.

Nancy berkata pindaan terhadap Seksyen 15B Akta 45 pula memperuntukkan pelaksanaan dasar kenaikan pencen pesara hakim sebanyak dua peratus setiap tahun.

"Peningkatan pencen pada kadar dua peratus setiap tahun ini akan dapat menangani kenaikan kos sara hidup yang berlaku setiap tahun tanpa perlu menunggu semakan gaji hakim yang sedang berkhidmat," katanya.

Nancy berkata pindaan itu juga diharapkan dapat membantu pelupusan kes-kes di mahkamah dengan lebih cepat dan teratur serta meningkatkan lagi prestasi badan kehakiman di Malaysia.

Sementara itu, ketika sesi perbahasan rang undang-undang berkenaan, Che Mohd Zulkifli Jusoh (BN-Setiu) berkata pindaan akta itu perlu dilakukan sebagai langkah kerajaan membantu bekas hakim yang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup selain menghargai jasa mereka kepada rakyat dan negara.

"Nisbah sekarang, seorang hakim berkhidmat untuk 500,000 orang. Tugas dan beban hakim semakin meningkat memandangkan mereka perlu bekerja pada waktu kerja dan selepas itu termasuk di hujung minggu," katanya.

Che Mohd Zulkifli juga bersetuju dengan cadangan Gobind Singh Deo (DAP- Puchong) untuk mengkaji kadar gaji hakim di semua peringkat, seperti yang diamalkan di negara lain seperti di Singapura.

Persidangan dewan bersambung hari ini.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS