Seorang pekerja binaan maut manakala dua lagi parah setelah terjatuh dari tingkat 22 bangunan kondominium mewah yang dalam pembinaan di Jalan Cantonment, di George Town hari ini.
Penguasa Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, A Ravi berkata tiga lelaki rakyat asing itu dikatakan terjatuh selepas papan pelapik yang digunakan ketika menyimen dinding bangunan itu patah dalam kejadian pada jam 9.50 pagi.
Identiti ketiga-tiga pekerja asing itu belum diperoleh.
"Mereka terjatuh ke tingkat lapan bangunan yang hampir siap itu. Seorang rakyat Indonesia mati di tempat kejadian manakala dua lagi iaitu seorang Indonesia dan seorang Myanmar cedera parah," katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata mayat pekerja berusia 39 tahun itu dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat manakala dua pekerja yang cedera parah berumur dalam lingkungan 30-an turut dihantar ke hospital sama.
Ravi berkata ketika kejadian terdapat lebih 40 pekerja sedang menjalankan kerja-kerja menyimen dan mengecat bangunan kondominium 32 tingkat itu.
"Kami difahamkan Majlis Perbandaraan Pulau Pinang telah mengarahkan supaya kerja-kerja di bangunan itu dihentikan serta-merta bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan," katanya.
Beliau berkata dua jentera bomba dengan 18 anggota terlibat dalam operasi menyelamat di bangunan itu.
Seorang pekerja di bangunan berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Mohammad, 30-an, berkata ketika kejadian dia berada tidak jauh dari tempat tiga pekerja itu.
"Kami sedang buat kerja dan tiba-tiba dengar bunyi papan patah sebelum saya nampak ketiga-tiganya jatuh dan mereka juga menjerit minta tolong. Penyelia yang berada di tingkat bawah terus ke tingkat lapan dan cuba membantu tetapi seorang sudah tidak sedarkan diri.
"Penyelia arahkan semua pekerja berhenti kerja dan turun berkumpul di kawasan lapang di perkarangan tempat pembinaan," katanya.
Mohammad yang berasal dari Myanmar berkata dia tidak rapat dan tidak mengetahui nama tiga mangsa berkenaan kerana hanya mengenali mereka di tempat kerja.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Pulau Pinang Mohd Anuar Embi berkata pasukan penyiasat termasuk daripada seksyen kerja bina telah dihantar bagi menyiasat dan mengenal pasti punca sebenar kejadian.
"Kami terima laporan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 10 pagi ini dan saya telah hantar pasukan penyiasat bagi menjalankan siasatan terperinci terutama berkaitan sistem kerja-kerja selamat dan berisiko tinggi projek kondominium berkenaan," katanya.
- Bernama
