Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
10,000 PATI ditahan dalam operasi seluruh negara

Jabatan Imigresen menahan 10,399 pendatang asing tanpa izin (PATI) melibatkan pelbagai warganegara melalui 1,644 operasi bersepadu yang dijalankan di seluruh negara antara 21 Januari dan 16 April lepas.
 
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata daripada jumlah itu, warga Indonesia mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi dengan 3,914 orang diikuti Myanmar (1,621); Bangladesh (1,307); Filipina (764); Nepal (552); India (482); Thailand (413); Pakistan (385); Vietnam (276); Kemboja (226); Sri Lanka (130); China (112); Turki (89); Nigeria (71) dan lain-lain (57).
 
Beliau berkata kesemua operasi itu melibatkan pemeriksaan terhadap 35,757 warga asing.
 
"Dalam operasi ini juga 156 tangkapan melibatkan majikan dilakukan," katanya kepada pemberita selepas menyertai operasi bersepadu Jabatan Imigresen Melaka di Melaka, malam tadi.
 
Katanya 13,455 pendatang tanpa izin dihantar pulang ke negara masing-masing dalam tempoh itu.
 
Dalam pada itu, Wan Junaidi ( kiri ) meminta anggota penguat kuasa termasuk Imigresen, polis, RELA dan JPAM yang terlibat dalam operasi penahanan PATI agar melaksanakan tugasan mereka dengan berperikemanusiaan agar tidak menimbulkan persepsi atau cerita buruk tentang Malaysia.
 
"Kita tidak mahu mereka ini balik membuat cerita yang tidak baik tentang negara kita dan dalam masa sama kita kena pertahankan negara kita, kena jaga undang-undang dan mereka kena hormat undang-undang negara kita kalau mereka nak datang kerja di negara ini," katanya.
 
Terdahulu, 52 warga asing terdiri daripada 21 lelaki dan dua wanita warga Indonesia; 17 lelaki warga India; 11 lelaki Bangladesh dan seorang lelaki Pakistan ditahan dalam operasi kira-kira dua jam bermula 11 malam tadi di tapak pembinaan di Melaka Raya di Melaka.
 
Kesemua mereka ditahan kerana disyaki masuk dan tinggal di negara ini tanpa pas atau permit sah; melanggar syarat pas, permit atau sempadan serta tinggal di negara ini setelah pas atau permit tamat tempoh.
 
- Bernama

ADS