Most Read
Most Commented
Read more like this

Kerajaan bersedia mengadakan rundingan sebelum Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengadakan piket di seluruh negara pada 12 Mei sebagai membantah penurunan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan Hashim Ismail berkata, kesatuan itu wajar mengadak piket tentang isu-isu besar yang tidak dapat dikompromi oleh kedua-dua pihak.

"Kerajaan sentiasa menghormati hak (pekerja) berpersatuan asalkan dalam linkungan undang-undang negara kita," katanya, semasa menjawab soalan tambahan Hoo Seong Chang (BN-Kluang) pagi tadi.

Hoo meminta kementerian itu mengulas tentang kesan piket tersebut dan adakah kerajaan akan mempertimbangkan cadangan kesatuan sekerja itu.

Hashim menjelaskan kerajaan sedia mendengar dan berkompromi dengan MTUC, sambil menyebut isu pemotongan caruman 11 peratus kepada sembilan peratus sebagai pilihan kepada pencarum.

"Kerajaan bertolak-ansur, tidak perlu tunjuk perasaan," katanya, sambil menambah negara ini masih belum selesai dengan isu demonstrasi dan kini timbul rancangan berpiket besar-besaran.

Hashim menyeru supaya semua pihak berbincang secara harmoni demi menarik pelabur-pelabur asing ke negara ini.

Sementara menjawab soalan Nasharuddin Mat Isa (PAS-Yan) berhubung hasil kajian Jawatankuasa Strategik Pasaran Modal di bawah Kementerian Kewangan mengenai pelaburan KWSP, Hashim berkata kementerian bercadang memberikan kelonggaran supaya portfolio pelaburan KWSP diperluaskan.

"Seksyen 26(2), Akta KWSP telah pun mendefiniskan jenis-jenis pelaburan yang boleh diceburi oleh KWSP dan memperuntukkan bahawa KWSP boleh melabur dalam apa-apa bentuk pelaburan di dalam dan luar negara dengan kebenaran bertulis Menteri Kewangan," tambahnya.

KWSP amat berhati-hati dan mengamalkan pelaburan bercorak konservatif kerana tidak mahu melibatkan risiko yang tinggi kepada pencarum, katanya.

Ketika menjawab soalan Hashim berkata, kumpulan wang simpanan itu memperuntukkan 25 peratus untuk pelaburan berisiko tinggi dan selebihnya dalam pelaburan berisiko rendah.

KWSP akan berbincang dengan Suruhanjaya Sekuriti, Kementerian Kewangan, pakar-pakar pelaburan dalam dan luar kumpulan simpanan itu berhubung kelonggaran pelaburan itu, jelasnya lagi di luar dewan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS