Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kenderaan Dalam Air Autonomi (AUV) Bluefin-21 setakat ini telah melakukan pencarian di lebih kurang 50 peratus kawasan yang difokuskan bagi mengesan pesawat Malaysia Airlines MH370 yang hilang sejak 8 Mac.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC) berkata kawasan pencarian yang diberi fokus itu berupa satu bulatan dengan radius 10 kilometer di sekeliling tempat isyarat kedua dikesan alat pengesan pinger pada 8 April.

Bagaimanapun, setakat ini tiada sebarang petunjuk berkaitan pesawat itu berjaya dikesan, kata JACC dalam kenyataan di Perth pada Ahad.

Agensi yang menyelia operasi mencari itu berkata Bluefin-21 memulakan misi kelapannya sejurus selepas selesai menjalankan misi ketujuhnya pada Ahad pagi.

Pada Sabtu, agensi itu berkata AUV berkenaan melakukan pencarian di kawasan seluas kira-kira 133 km melalui misi keenamnya.

Pada Sabtu juga, Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein ketika menafikan laporan media bahawa pencarian di dalam air akan mengambil masa enam minggu hingga dua bulan untuk diselesaikan, berkata kawasan mencari yang menjadi tumpuan Bluefin-21 ketika ini akan dapat diliputi sepenuhnya minggu depan.

    

Menurut beliau kini adalah masa yang tepat bagi pihak yang terlibat dalam operasi mencari pesaswat itu menimbang dan berbincang tentang penggunaan kapal selam.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Australia Tony Abbott membayangkan operasi mencari itu akan dibincang dan dikaji semula sekiranya tidak terdapat perkembangan baharu dalam masa beberapa hari akan datang.

Bluefin-21 mula digunakan pada Isnin bagi mengesan serpihan pesawat berkenaan selepas tiada lagi isyarat dikesan alat pengesan pinger sejak 8 April.

AUV ini menggunakan alat akustik untuk menghasilkan peta tiga dimensi dasar laut dan mengambil masa sekurang-kurangnya 24 jam untuk menyelesaikan setiap misinya, termasuk empat jam bagi memuat turun data yang dikumpul.

Kenyataan itu berkata usaha mencari secara visual pada Ahad akan melibatkan 11 kapal terbang tentera dan 12 kapal.

"Cuaca hari ini diramalkan hujan di sana-sini, ribut petir di sesetengah tempat dan tiupan angin timur tenggara," kata agensi itu.

Penerbangan MH370 bersama 239 orang hilang daripada pengesanan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam. Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS