BERITA Malaysiakini

Pecat MB 'tak guna', kata Jeff Ooi

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Kesal kerana bekalan air di rumahnya sering dicatu, seorang MP Pakatan Rakyat menuntut agar Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dipecat kerana didakwa gagal mengatasi masalah tersebut.

MP Jelutong Jeff Ooi berkata, masalah bekalan air itu menyulitkan urusannya hingga terpaksa “mandi kerbau” (mandi cincai) setiap kali pulang ke kediamannya di Subang Jaya.

“Saya merupakan seorang pembayar cukai di Selangor sejak bertahun-tahun lamanya kerana saya memiliki rumah di Subang Jaya.

"Kami tidak pernah menghadapi catuan air yang berlarutan begitu lama seperti ini, malah semasa pentadbiran BN sekalipun.

"Kegagalan Pakatan adalah kegagalan Pakatan. Masa Khalid sudah tamat. Pecat orang 'tidak guna' ini," katanya.

MP berkenaan turut memuatkan satu gambar bilik air yang menempatkan empat bekas takungan air.

Tulisannya itu mendapat perhatian meluas rakannya di Facebook yang meninggalkan lebih 80 komen di tulisan tersebut

Para pengikutnya itu antara lain bertanya sekiranya beliau yakin pengganti Khalid akan dapat menunjukkan prestasi lebih baik dari sedia ada.

Mengulas komen tersebut, Jeff Ooi menyoal kembali mengapa perkara itu tidak boleh dilakukan.

“Jika penyandang timbalan presiden PKR Azmin Ali lebih baik daripada Khalid, kenapa tidak?,” katanya.

Khalid dalam kenyataanya semalam berkata, beliau akan membuat pengumuman pada minggu depan sama ada akan meneruskan atau menghentikan pelan catuan air di negeri Selangor.

Katanya, kerajaan negeri mengambil kira bahawa bekalan air di negeri itu hanya boleh bertahan selama 29 hari sekiranya catuan tidak diteruskan.

Buat masa ini, kerajaan negeri terpaksa meneruskan catuan kerana paras air masih kritikal di empangan utama di Sungai Selangor.

Kerajaan negeri juga hari ini meluluskan peruntukan RM10 juta untuk kerja-kerja mengepam air dari bekas lombong atau kolam sekitar lembangan sungai Selangor ke Sungai Selangor.

Setakat jam 8 pagi ini, paras air di Empangan Sungai Selangor masih berada di bawah paras kritikal iaitu 38.97 peratus dengan jumlah takungan 89.63 juta liter padu.