Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Gerakan yang langgar perlembagaan
Diterbitkan:  Apr 25, 2014 4:30 PM
Dikemaskini: 8:40 AM

Hujah bahawa pelaksanaan hudud akan mewujudkan dua set undang-undang dalam negara ini tidak betul kerana sistem demikian telah lama wujud, kata PAS.

Pengerusi lajnah undang-undang PAS, Mohamed Hanipa Maidin ( kiri ) berkata demikian sewaktu mengulas notis dari Pemuda Gerakan kepada PAS semalam.

Ketua Pemuda Gerakan, Tan Keng Liang semalam berikrar akan mengheret PAS ke mahkamah jika mereka meneruskan hasrat untuk membentang rang undang-undang persendirian hudud di Parlimen.

"Dakwaan Gerakan bahawa kewujudan hukum hudud akan mengakibatkan kewujudan dua sistem perundangan jenayah dalam negara kita adalah - dengan hormat - satu dakwaan yang gopoh dan tidak berasas.

"Ia juga menunjukkan ketidakfahaman mereka tentang perjalanan sistem undang undang jenayah dalam negara ini," kata MP Sepang itu dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, dua set sistem perundangan dalam negara sudah wujud sejak Perlembagaan Persekutuan diwujudkan.

"Oleh itu sama ada hudud wujud atau tidak, hakikatnya negara kita telah pun mempunyai dua sistem jenayah dan ini diperuntukkan oleh Perlembagaan.

"Nampaknya bukan PAS yang melanggar Perlembagaan sebaliknya hujah Gerakan yang menyalahi Perlembagaan," katanya.

Hanipa turut membidas Gerakan kerana tidak mengkaji hudud secara keseluruhannya tetapi berdiam diri terhadap undang-undang "zalim dan kuku besi".

"Saya juga berharap Gerakan juga perlu bersikap konsisten.

"Mengapakah kita tidak mendengar Gerakan menentang undang undang zalim dan drakonian seperti ISA, Akta Hasutan, Akta Penerbitan Dan Pencetakan, SOSMA, Akta Pencegahan Jenayah dan banyak lagi," katanya.

Jelasnya, dalam hudud juga tiada konsep tahanan tanpa bicara dan prinsip keadilan sangat dititik beratkan.

"Adakah Gerakan sedar dan tahu bahawa tiada penahanan tanpa bicara dalam hudud malahan prinsip dalam undang undang jenayah Islam jauh lebih baik," katanya.

ADS