BERITA

Kumpulan bersenjata culik warga China di Sabah

Diterbitkan
Dikemaskini 6 Mei 2014, 11:07 tengahari

Satu lagi kes penculikan bersenjata dilaporkan berlaku di perairan Sabah membabitkan sekumpulan lima orang lelaki yang melarikan seorang lelaki warga China dari sebuah pusat ternakan ikan dekat Lahad Datu.

Polis mengesahkan, lima penceroboh melarikan Yang Zailin, 34, seorang pengurus di syarikat Wonderful Terrace Sdn Bhd pada kira-kira jam 2.45 pagi ini.

Timbalan ketua polis negara Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata, dua daripada penceroboh berkenaan memakai celoreng tentera, bertopeng dan bersenjatakan raifal M-16.

“(Pasukan keselamatan) mengejar mereka dan satu tembak menembak berlaku berhampiran Pulau Mataking.

“Mereka bagaimanapun melepaskan diri dan menuju negara jiran,” kata Mohd Bakri.

Bernama melaporkan, Yang yang berasal dari Guangzhao bekerja di pusat ternakan yang terletak 3km dari bandar Silam itu sejak tiga tahun lalu.

Laporan itu memetik ketua pengarah Esscom Datuk Mohamad Mentek sebagai berkata, penceroboh berkenaan “dipercayai dari selatan Filipina”.

Menurutnya, pusat ternakan tersebut dimiliki orang seorang warga Hong Kong yang dikendalikan oleh 16 kakitangan – masing-masing lapan orang dari Timor Timor dan Suluk.

Kejadian penculikan di perairan Silam tersebut merupakan kejadian kedua yang berlaku tahun ini di Sabah, sebulan selepas kejadian penculikan di Singamata Reef Resort, Semporna.

Dalam kejadian di Semporna itu, kumpulan berkenaan menculik dua orang wanita, salah seorangnya berusia berusia 40 tahun warganegara Filipina yang bekerja di pusat peranginan tersebut dan seorang lagi adalah adalah pelancong warga yang berusia lingkungan 20-an.

Pada November tahun lepas, seorang pelancong Taiwan ditemui mati ditembak dan isterinya diculik oleh sekumpulan lelaki dalam kejadian di Pulau Pom Pom, Semporna.

Sementara itu Bernama petang ini melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hamza Taib berkata polis telah menahan 19 individu, 11 daripadanya etnik berketurunan Suluk dan selebihnya warganegara Indonesia di kawasan kejadian bagi membantu siasatan.

Katanya cuma sembilan daripada tahanan berkenaan mempunyai dokumen dan kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjatapi (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan dikenakan enam sebatan jika sabit kesalahan.

Polis percaya kumpulan berkenaan merupakan satu daripada kumpulan yang menculik untuk tebusan namun belum dipastikan sama ada kumpulan itu terbabit dalam kes penculikan seorang pelancong China di Singamata Adventures Reef Resort di Semporna pada 2 April lalu.

[Baca berita penuh]

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.