Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Sekeras-keras hati ketua kabilah Taliban, namun beliau berjaya mendapatkan kebenarannya untuk memberi penjagaan perubatan kepada kaum wanita dalam kabilah itu.

    

Ketika bertugas di sebuah kawasan kampung di Iraq, pinggulnya ditembusi peluru. Dengan pantas beliau menjahit luka tembakan dan meneruskan tugasnya untuk membantu seorang wanita yang hendak bersalin.

    

Bagi wanita yang penuh dengan keberanian ini, semuanya itu adalah rutin hariannya.

    

Beliau betah berada di zon perang, seperti juga di tempat lain. Beliau ialah Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, pakar ginekologi terlatih yang juga pejuang kemanusiaan.

    

Memupuk 'Mercy'

Perang Kosovo meletus di selatan Eropah semasa berakhirnya satu lagi alaf. Di tanah air, bisnes klinik Dr Jemilah dan suaminya, Dr Ashar Abdullah berjalan lancar.

    

Bagaimanapun, ini tidak cukup untuk memuaskan hatinya. Jauh di lubuk hatinya, ada yang lebih besar yang beliau perlu lakukan.

    

Beliau membuat keputusan untuk ke Kosovo bagi membantu mangsa perang di sana.

    

Dr Jemilah menghubungi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkenaan untuk menyatakan hasratnya. Namun, tidak ada satu pun yang memberi jawapan, justeru suaminya mencadangkan supaya beliau menubuhkan sebuah badan dan menyusun sendiri pasukan sukarelawannya.

    

Cadangan suaminya itu menjadi titik tolak kepada penubuhan Mercy (Medical Relief Society Malaysia).

    

"Satu daripada kelebihan menjadi pejuang kemanusiaan dan membentuk pertubuhan ialah saya boleh menyakinkan rakyat Malaysia bahawa sekiranya kita mahu menjadi negara maju, ia bukan tentang membina bangunan atau lebuh raya.

    

"Ianya tentang membantu orang, berbelas kasihan terhadap semua orang. Kenapa mesti menghadkan diri kita sebagai orang Asia atau rakyat Malaysia untuk memainkan peranan itu di peringkat global?" beliau memberitahu sebuah forum di Kelab Golf Diraja Selangor sewaktu berlangsungnya kejohanan Tenis WTA di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    

Bermula dengan penuh sederhana, beroperasi dari klinik Dr Jemilah, Mercy kini disegani sebagai sebuah badan yang banyak menabur jasa kepada ramai orang dan usaha murni ini masih berterusan.

    

Selepas Kosovo, tenaga sukarelawannya yang diketuai oleh Dr Jemilah bergerak ke Iraq, Afghanistan, Indonesia (Acheh), Somalia, Kemboja dan banyak lagi negara yang dilanda masalah untuk menghulurkan bantuan.

    

Mengingati ibu

Dr Jemilah mendedahkan bahawa beliau membesar dalam keluarga ibu bapa yang berlainan kaum dengan 13 adik-beradik termasuk saudara tiri daripada pelbagai kepercayaan (Islam, Kristian dan Buddha) membolehkan beliau menyesuaikan diri dengan semua orang.

    

Bagi beliau, hormat menghormati serta kasih sayang adalah amat penting, tanpa mengira warna kulit, agama atau kepercayaan.

    

Semasa berusia belasan tahun, ibunya mengajar beliau erti kemanusiaan dengan menyuruhnya melakukan beberapa urusan.

    

Dr Jemilah berkata ibunya meminta beliau ke Singapura untuk membantu membeli buku sekolah dan keperluan lain untuk diberikan kepada saudara-mara sebelah ayah.

    

Ini berlaku selepas ayahnya meninggal dunia dan ketika itu beliau berusia sembilan tahun.

    

"Pada mulanya saya memang memberontak. Saya fikir ibu tidak sayangkan saya kerana ibu menyuruh saya pergi semasa cuti sekolah. Pada saya, ibu sengaja mahu saya tidak berada di rumah.

    

"Fikiran saya kemudian bertukar apabila saya mula berasa ibu menyuruh saya kerana beliau nampak suatu kelainan dalam diri saya.

    

"Semasa ibu nazak, ibu beritahu saya yang dia amat sayangkan saya dan dia tahu saya ini lain daripada yang lain.

    

"Ibu beritahu buatlah ikut kata hati nurani saya. Beliau kata memang saya seorang doktor tetapi beliau tahu apa yang saya cari," Dr Jemilah mengenang kisah silamnya.

    

Bila dilanda kecewa

    

Ibu kepada dua anak lelaki ini berkata cabaran paling hebat sebagai pejuang kemanusiaan, juga dalam kehidupan, adalah untuk mengekalkan motivasi.

    

Beliau berkongsi kisahnya semasa dilanda kemurungan akibat kejadian tembakan di Iraq.

    

Dua pekerjanya terbunuh dan beberapa orang lagi cedera.

    

"Berkali-kali saya mengenang kembali apa yang telah kami lakukan dan baru saya boleh terima hakikat apa yang berlaku bukan salah saya. Malah pasukan Palang Merah PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) pernah dibom dan mereka itu diberi kawalan keselamatan yang ketat.

    

"Bagi saya, apa yang terus memotivasi saya ialah mereka yang terkorban dan cedera semasa misi. Saya tidak boleh mengecewakan mereka. Saya lakukan untuk pertubuhan ini dan untuk mereka yang saya cuba bantu dan kami akan teruskan usaha ini," katanya.

    

Menurut Dr Jemilah, agama memberinya kekuatan dalam menjalankan misinya di samping suami yang senantiasa memberi sokongan.

    

Beliau juga amat bertuah kerana mempunyai keluarga yang sentiasa memahami keperluan untuk beliau berada jauh daripada mereka.

    

Tidak lupa juga beliau menyatakan penghargaan kepada ramai pihak yang yakin dengan visinya.

    

Terus mara

Pada 2009, iaitu 10 tahun selepas beliau mengasaskan Mercy, Dr Jemilah menyerahkan pertubuhan itu kepada orang lain untuk membolehkan beliau memberi bimbingan kepada para pemimpin muda di samping menulis.

"Kini saya amat teruja dengan kepimpinan, tentang memupuk orang muda. Saya juga ingin menukar pandangan geopolitik dunia.

    

"Saya mahu kita yang dikenali sebagai global Selatan, mempunyai suara dalam isu global. Saya mahu kita mempengaruhi polisi. Saya mahu kita mampu membentuk masa hadapan," kata Dr Jemilah.

    

Beliau akan meninggalkan Malaysia kerana ditawarkan jawatan yang membolehkannya melakukan tugas itu. Dr Jemilah telah dilantik bagi mengetuai Sekretariat Sidang Kemuncak Kemanusiaan Dunia di ibu pejabat PBB di New York.  

    

Pesan kepada anak muda

    

Untuk anak muda di luar sana, beliau menggesa mereka mencari apakah sebenarnya yang mahu mereka lakukan.

    

Mungkin proses itu akan mengambil masa kerana beliau sendiri mengalaminya.

    

Beliau menasihatkan mereka supaya jangan takut untuk menukar karier apabila melakukan sesuatu yang mereka tidak suka.

    

"Walaupun masyarakat berasa skeptikal, lakukanlah. Dalam kehidupan, anda perlu mengambil risiko, risiko yang sudah difikir dengan semasak-masaknya. Sekiranya anda tidak mengambilnya, sudah tentu anda akan terlepas peluang," kata Dr Jemilah.

    

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS