Malaysiakini
BERITA

Wee dakwa Mkini putar belit kenyataannya

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Mei 2014, 12:15 tengahari

Timbalan presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong menyalahkan Malaysiakini yang didakwa memutarbelitkan kenyataan beliau dalam satu forum pada malam tadi berhubung pendirian parti itu ke atas sokongan Umno dalam isu hudud.

Katanya, beliau tidak menyebut bahawa MCA akan “keluar dari BN” jika Umno bersetuju dengan rancangan melaksana hudud dan mendakwa, kenyataan tersebut adalah “putar belit” oleh portal berita Malaysiakini.

“Yang putar belit apa yang saya cakap Malaysiakini , lagi banyak saya cakap pada Malaysiakini, lebih teruk saya kena lanyak tau.

“Sebab itu saya tidak jawab atau kata apa-apa kalau Malaysiakini yang tanya,” kata beliau seperti dilaporkan oleh portal rasmi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) hari ini.

Malaysiakini bagaimanapun hanya melaporkan bahawa Wee berkata MCA akan mengkaji semula kedudukan dalam BN sekiranya Umno menegaskan pendirian menyokong pelaksanaan hudud di Kelantan.

Laporan pada malam tadi tidak mengandungi kenyataan seperti didakwa itu.

Menurut laporan itu, Wee berkata MCA mempertahankan seratus peratus asas perlembagaan persekutuan yang dipersetujui BN sejak merdeka.

"Kalau berlaku (Umno sokong hudud) perkara itu kita akan bincangkan kedudukan kita dalam BN.

"Kita tidak akan sokong hudud PAS," kata beliau.

Susulan kenyataannya itu, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin hari ini menggesa beliau agar tidak membuat keputusan terburu-buru untuk mengkaji kedudukannya dalam BN.

Katanya, Umno sendiri menerima hudud namun masih mengkaji soal pelaksanaannya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.