Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) membidas apa yang dikatakannya tekanan yang berterusan ke atas doktor dan klinik swasta oleh pemegang konsesi, Fomema Sdn Bhd
Presiden MMA, Dr NKS Tharmaseelan (kanan) berkata pemegang
konsesi monopoli itu untung besar di atas keringat doktor dan pembayar cukai.
Dalam satu kenyataan akhbar, beliau berkata, sejak Fomema ditubuhkan untuk memudahkan pemeriksaan kesihatan ke atas pekerja asing pada tahun 2000, bayaran yang dibayar kepada doktor dan klinik tidak pernah berubah.
"Fomema hanya membayar RM60 kepada doktor untuk pemeriksaan perubatan dan RM25 untuk x-ray sejak penubuhannya 14 tahun yang lalu.
"Apabila doktor meminta kenaikan kadar bayaran, mereka menyalahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) kerana tidak bersetuju untuk menaikkannya manakala EPU berkata sebaliknya," dakwanya.
Beliau juga mendakwa bahawa bayaran konsultansi tidak pernah
meningkat walaupun doktor kini perlu menyertakan penilaian psikiatri bagi setiap pekerja asing.
Sedangkan, kata beliau, yuran konsultansi untuk pemeriksaan kurang terperinci untuk pelajar asing pun adalah RM120.
