Persatuan Alumni Majlis Perwakilan Pelajar UiTM (PIMPIN) membidas calon DAP Teluk Intan Dyana Sofya Mohd Daud yang didakwa mengelirukan masyarakat dengan hala tuju perjuangan yang cuba diketengahkannya.
Presidennya Saiful Azhar Shaharun berkata sebagai graduan undang-undang dari kampus itu, Dyana perlu menerangkan kepada umum bahawa univerisiti itu hanya dikhaskan untuk Melayu dan Bumiputera melalui kontrak sosial.
"Justeru, sebagai seorang warganegara yang baik, Dyana tidak perlu rasa bersalah sekiranya ada insan bukan Melayu/Bumiputera yang bertanya mengenai UiTM
"Pokoknya, Dyana tahu, faham dan jelas tetapi masih mahu menjadikan UiTM sebagai lauk cakap-cakap di pentas politik parti pilihannya," katanya dalam satu kenyataan di lamanweb PIMPIN semalam.
Menurut Saiful lagi, calon DAP itu juga faham dan sedar bahawa tiada pertalian dan polisi menjadi ahli parti politik tertentu sewaktu menjadi mahasiswa kampus itu.
Katanya, usaha mempertahankan UiTM - yang banyak melahirkan teknokrat dan profesional - tidak menjadi tugas parti pemerintah sahaja malah perlu dipikul oleh setiap organisasi politik.
"Apakah Dyana bukan sebahagian daripada hasil kejayaan ini?... Kalau bukan kerana nama UiTM, Dyana pada hari ini mungkin tidak diberi ruang istimewa di dalam lingkaran parti politik yang sememangnya tidak mesra UiTM dari dahulu lagi.
"Kalau bukan kerana nama UiTM, Dyana pada hari ini mungkin masih merangkak mencari-cari pintu di dalam kesempitan demokrasi parti yang tidak mungkin memberi sinaran politik kepada orang Melayu di dalamnya," tegasnya.
Justeru, Saiful menegaskan institusi itu tidak seharusnya dijadikan isu dalam mana-mana pentas sekiranya semangat Perlembagaan Persekutuan dijunjung tinggi tanpa prejudis dan prasangka.
"Pemain-pemain politik seharusnya menggunakan pentas kempen sebagai medan memperkasa kefahaman mengenai Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi menyebarkan semangat perpaduan di kalangan masyarakat," katanya.
