Most Read
Most Commented
Read more like this

Majlis Melayu perlu dipimpin oleh seorang yang berwibawa supaya majlis itu diterima oleh semua golongan tanpa kepentingan politik pihak tertentu.

"Majlis ini perlu diketuai oleh seorang yang dihormati oleh semua pihak," kata Ketua Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Profesor Madya Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Beliau, yang juga Ketua II Gabungan Penulis Nasional (Gapena), mengulas cadangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Rais Yatim minggu lalu dalam satu seminar di universiti itu.

Apabila ditanya calon yang sesuai, Dr Latiff berkata, "kalau pilih orang PAS, bimbang Umno tidak terima, dan begitu juga sebaliknya,"

"(Kita) Fikirlah sendiri," tambahnya, sambil menambah "sudah tentu seorang intelek".

Dalam ucapan bertajuk "Cabaran Politik Melayu dalam Abad ke-21," Rais menyarankan majlis itu harus disertai golongan terpelajar Melayu untuk membincangkan isu-isu bangsa.

"Soal bersetuju atau tidak akan rumusan atau resolusi perbincangan, adalah soal lain. Yang penting ialah adanya suatu penyatuan dan penjurusan bangsa yang tidak dihadkan oleh prasangka politik kepartian," kata Rais dalam seminar itu.

Dr Latiff berharap majlis ini akan bertindak sebagai badan penasihat untuk menyatukan bangsa itu supaya wujud satu gagasan yang boleh membangunkan kerajaan dan kepimpinan Melayu.

Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Fadzil Mohd Noor menjelaskan beliau tidak menerima cadangan tersebut kerana "telah banyak kali dipermainkan oleh orang Umno."

"(Umno) banyak kali gunakan pelbagai nama (melalui) banyak cadangan," jelas Fadzil, dan menambah semuanya bertujuan, "hendak tolong mereka yang berkuasa".

"Apabila terdesak cari orang lain untuk bantu mereka. Apabila kuat, (Umno) ketepikan PAS," selar Fadzil lagi.

Idea PAS tidak dihargai

PAS sebenarnya telah menghantar lima orang wakil daripada pelbagai latar pendidikan, katanya, menjelaskan laporan Utusan Malaysia hari ini bahawa parti itu menolak Majlis Perundingan Ekonomi Negara (Mapen).

"Penyertaaan kita (dalam Mapen) tidak dihargai, segala curahan fikiran untuk kepentingan negara ditolak mentah-mentah oleh (Perdana Menteri) Dr Mahathir," ujar beliau.

Fadzil mempersoalkan sikap Umno yang dianggap tidak ikhlas membantu orang Melayu apabila kerajaan menghapsukan biasiswa dan menukar kaedah pembayaran royalti minyak Terengganu.

"Hak yang ada di dalam mulut orang pun (Umno) hendak dirampas," katanya lagi, sambil menegaskan bahawa Umno sebenarnya memusuhi orang Melayu.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional, Dr Chandra Muzaffar turut mengkritik idea penubuhan majlis tersebut.

"Kenal masalah dahulu, kesan penyakitnya, barulah cari ubat yang sesuai," jelasnya.

Beliau menganggap masalah yang timbul di kalangan orang Melayu kini adalah krisis keyakinan terhadap pemimpin kerajaan, khususnya Dr Mahathir.

Dr Chandra menjelaskan cabaran yang dihadapi bukan bersikap kaum tetapi melibatkan isu-isu kepentingan nasional, seperti penyalahgunaan kuasa dan rasuah, campurtangan eksekutif dalam sistem pentadbiran keadilan, hak asasi rakyat dan kebebasan sistem pilihan raya.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS