Most Read
Most Commented
Read more like this

versi terkini Isteri pemimpin Parti Keadilan Nasional Dr Badrul Amin Baharom dibenarkan bertemu suaminya yang kini telah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama 13 hari.

Menurut pembantu peribadi pemimpin pembangkang itu, Nazaruddin Mohamed Ferdoos, Zumrah Husni dijadualkan bertemu suaminya jam 3 petang esok di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Kuala Lumpur di Jalan Hang Tuah.

Dr Badrul Amin ditahan di rumahnya di Kepong, Selangor pada 20 April lalu.

Sementara itu, Marina Abdullah, isteri pengendali laman web 'Kempen Bebaskan Anwar' (FAC) Raja Petra Raja Kamaruddin dibenarkan bertemu suaminya petang tadi di tempat yang sama.

Ditangkap pada 11 April lalu, Raja Petra kini ditahan selama 22 hari.

Marina hadir bersama tiga orang anaknya, Raja Shahril, Raja Azmir dan Raja Sara, manakala anak perempuan sulungnya, Raja Suraya masih berada di Johor dan tidak sempat kembali melawat bapanya.

Selepas pertemuan itu, Marina memberitahu media bahawa beliau berasa gembira kerana suaminya "dijaga dengan baik dan tidak diseksa oleh polis."

Sementara itu Azman, adik aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) Badaruddin Ismail yang ditahan sejak 26 April, memberitahu malaysiakini hari ini beliau akan berjumpa dengan seorang pegawai kanan polis Ibu Pejabat Polis Persekutuan di Bukit Aman jam 3 petang esok berhubung penahanan abangnya.

Bahirah Tajul Aris, isteri Ketua Pemuda Keadilan Mohamad Ezam Mohd Nor, pula memberitahu agensi berita AFP hari ini, polis akan menghubunginya kemudian berhubung hal itu.

Marina berkata suaminya tidak mengetahui keadaan tahanan-tahanan lain kerana Raja Petra tidak pernah berjumpa dengan mereka dalam tahanan.

Menurut Marina, apabila ditanya wartawan, suaminya tidak mempunyai sebarang pesanan untuk penyokongnya.

Tahanan-tahanan lain adalah Naib Presiden Keadilan Tian Chua, aktivis-aktivis Pemuda partiitu N Gobalakrishnan, Abdul Ghani Haroon, Lokman Noor Adam; pengerusi jawatankuasa penganjur 'Black 14' Saari Sungib dan penulis kolum malaysiakini Hishamuddin Rais.

Sejak hampir empat minggu lalu, keluarga-keluarga tahanan mengambil beberapa langkah untuk bertemu tahanan. Semalam, mereka menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Speaker Dewan Rakyat bagi membolehkan tahanan dilawati segera.

Sementara itu, DEWAN RAKYAT sekali lagi menolak secara bertulis permohonan usul Teresa Kok (DAP-Seputeh) bagi membahaskan tindakan kerajaan menggunakan ISA terhadap 10 pemimpin Keadilan dan aktivis reformasi tersebut.

"Saya telah menolak usul dari Yang Berhormat Pokok Sena (Mahfuz Omar) itu kerana perkara itu menjadi sub judice di bawah Peraturan Mesyuarat 36 (2)," surat Speaker dewan Tun Mohamed Zahir Ismail bertarikh 2 Mei dipetik.

Mohamed Zahir juga menyatakan usul Teresa itu ditolak kerana ia pernah dibawa oleh Mahfuz 12 April lalu.

"Mengikut Peraturan Mesyuarat 18 (6), seseorang ahli tidak boleh mengeluarkan semula perkara yang sama dalam mesyuarat yang sama jika perkara itu telah ditolak oleh Yang di-Pertua di bawah perkara 18 (2)," kata Zahir dalam suratnya kepada Teresa.

Ketika ditemui di luar dewan, Teresa berkata isu itu "tidak lagi sub judice " kerana mahkamah telah menolak perbicaraan permohonan habeas corpus tahanan-tahanan ISA tersebut. Permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membawa tahanan bagi perbicaraan tersebut sebelum ini gagal. Bagaimanapun mahkamah tinggi Shah Alam belum membuat keputusan.

Wakil rakyat DAP itu melahirkan rasa kecewa apabila permohonannya untuk menuntut kebenaran lawatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan keluarga tahanan-tahanan ISA itu tidak berpeluang dibacakan kepada sidang dewan.


Please join the Malaysiakini WhatsApp Channel to get the latest news and views that matter.

ADS