Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Seorang pemimpin kanan PAS berkata Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sepatutnya membuat pemeriksaan terlebih dahulu sebelum bertindak ke atas seorang pengantin wanita yang berkahwin mengikut adat Hindu, Ahad lalu.

Dr Dzulkefly Ahmad berkata, JAIS wajar bertindak demikian terlebih dahulu, sebelum membuat apa-apa tindakan lanjut termasuk serbuan kerana ia boleh mencetus perbalahan agama.

"Adalah wajar JAIS ambil tindakan melalui maklumat lengkap dan sahih.

"Kita tahu serbuan ke atas perkahwinan itu boleh mencetuskan perbalahan agama.

"Jadi keperluan untuk mendapatkan maklumat yang tepat mesti diteliti dengan cermat," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Bercakap dalam satu sidang media sebelum itu, Dzulkefly berkata mana-mana pihak termasuk Persatuan Hindraf Malaysia (Hindraf) berhak untuk menyatakan pandangan mereka berhubung kes berkenaan.

Hindraf berhak nyata pandangan

“Hindraf boleh kata apa pun, yang pentingnya semua yang memberikan pandangan.

"Semua (pihak) mesti memikul tanggungjawab menjaga suasana damai dan sejahtera khususnya bagi umat Islam,” katanya.

Pengerusi Hindraf P Waythamoorthy dalam kenyataannya semalam antara lainnya mendakwa tindakan JAIS di upacara perkahwinan di sebuah kuil di Petaling Jaya itu mencabul Perlembagaan.

Waytha mendakwa serbuan itu melanggar hak kebebasan beragama yang termaktub dalam Perkara 11 Perlembagaan, selain menjejaskan suasana aman dalam majlis perkahwinan itu.

Laporan Sinar Harian semalam menyebut JAIS menahan pengantin berkenaan, seorang wanita berusia 32 tahun ketika upacara perkakwinan sedang berlangsung bersama pasangannya, seorang lelaki beragama Hindu.

Wanita yang lengkap berpakaian pengantin itu dilaporkan ditahan oleh pasukan anggota JAIS di Petaling Jaya pada kira-kira jam 10 pagi.

Beliau seterusnya dibawa ke ibu pejabat pihak berkuasa tersebut untuk siasatan, hari Ahad lalu.

Operasi tersebut dijalankan dengan bantuan anggota polis yang berkawal di luar kawasan majlis tersebut, manakala keluarga mempelai memberi kerjasama baik, lapor akhbar tersebut.

JAIS dilaporkan menjalankan siasatan mengikut Seksyen 4 Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.

Peruntukan itu meliputi kesalahan memujuk, mempengaruhi atau menghasut orang beragama Islam supaya mengubah keimanan.

Bagaimanapun, JAIS hari ini menjelaskan bahawa jabatan tersebut hanya membuat pemeriksaan di majlis perkahwinan tersebut dan tidak menjalankan apa-apa serbuan seperti dilaporkan Sinar Harian .

Timbalan ketua pengarahnya Ahmad Zaki Arshad dilaporkan laman The Malaysian Insider sebagai berkata, petugasnya juga hanya mengambil keterangan daripada pengantin wanita tersebut.

Katanya tindakan itu untuk memastikan taraf agama pengantin wanita tersebut, yang turut diminta tampil ke pejabat JAIS di Shah Alam untuk siasatan lanjut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS