Kerajaan Selangor dan Jabatan Agama Islam selangor (JAIS) sedia membantu pengantin perempuan yang mengamalkan agama Hindu tetapi mempunyai nama Islam untuk menyelesaikan masalah tersebut, kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
"Setelah berbincang teliti isu tersebut, JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor) menyatakan kesediaan untuk membantu wanita berkenaan selesai masalah status agama beliau.
"Dia boleh membuat pertukaran jika kita dapat selesaikan nama kepada nama yang beliau inginkan.
"Itu jika perlu diuruskan, kita akan uruskan," katanya dalam sidang media petang ini.
Ditanya jika bantuan yang dimaksudkan meliputi tindakan kerajaan Selangor menyokong permohonan pengantin itu untuk menukar namanya di Jabatan Pendaftaran Negara, Khalid menjawab: "Jika status itu memang patut diselesaikan, kita akan selesaikan".
Ahad lalu, JAIS menyerbu majlis perkahwinan Zarina Abdullah Majid, 32, yang mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihannya, seorang pemuda Hindu.
Masalah Zarina bermula apabila bapanya memeluk Islam dan ekoran tindakan itu, status agamanya dalam sijil kelahiran dan MyKad juga dirakam sebagai seorang Islam.
Bapanya bagaimanapun meninggalkan mereka pada 1990 dan beliau dibesarkan oleh ibunya seorang penganut agama Hindu.
Zarina dilaporkan kecewa kerana menghabiskan RM30,000 untuk majlis perkahwinan itu namun, ada di antara tetamu-tetamunya meninggalkan majlis itu tanpa menjamah hidangan.
Katanya, beliau nekad untuk meneruskan upacara mengikut adat Hindu itu kerana tidak berjaya menukar status agamanya selepas membelanjakan beribu-ribu ringgit untuk tujuan itu.
Sementara itu, Khalid mengumumkan yang exco kerajaan memberi amaran kepada JAIS agar memastikan serbuan pihak berkuasa agama Islam ke atas majlis-majlis dan premis agama lain, tidak berulang lagi.
"Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah menyatakan kepada JAIS (bahawa) SOP (prosedur operasi standard) tentang penguatkuasaan JAIS hendaklah dipatuhi.
"Tindakan akan diambil kepada mana-mana pegawai yang gagal berbat demikian.
"Demi menjaga keharmonian, MMKN kesal dengan kejadian berlaku dan mengarahkan JAIS menentukan insiden sebgini tidak berulang lagi," katanya.
