Sempena meraikan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong, golongan yang tidak bernasib baik juga tidak dilupakan apabila mereka dihadiahkan kek mewah pelbagai bentuk hasil air tangan cef hotel
terkemuka dalam dan luar negara.
Kek-kek berkenaan yang berwarna-warni, berbentuk bangunan, alat tradisional muzik, perahu, kenderaan, burung, masjid dan payung diraja merupakan kek yang dipersembahkan khas kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dihantar kepada golongan penerima.
Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah berkenan menyaksikan persembahan kek itu di Dewan Santapan Istana Negara, semalam.
Cef Zaini Ghazali daripada Pusat Dagangan Dunia Putra memberitahu Bernama, beliau mengilhamkan kek bertemakan 'Daulat Tuanku' yang dihias dengan 'Royal Buggy' yang boleh berpusing dan mengeluarkan suara yang melaungkan 'Daulat Tuanku'.
"Kek berkenaan yang merupakan kek buah seberat 65 kilogram mengambil masa dua minggu untuk disiapkan," katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur.
Zaini yang berkecimpung dalam dunia pastri sejak 1979 berbangga kerana setiap tahun beliau bersama pasukannya berpeluang menghadiahkan kek sempena hari keputeraan.
"Kami sentiasa berusaha untuk tampil dengan idea kreatif, untuk mempersembahkan kek terbaik kepada Seri Paduka Baginda, seterusnya menghiburkan golongan tidak bernasib baik yang akan menerima kek itu," katanya.
Cef Raymond Ling daripada Hotel Park Royal pula berkata beliau dan pasukannya kali ini mempersembahkan kek berkonsepkan 'Tahun Melawat Malaysia bersama KTM 2014' yang berbentuk stesen kereta api di Jalan Sultan Hishammuddin, di Kuala Lumpur.
"Menariknya jika dilihat melalui tingkap bangunan stesen pada kek seberat 40 kilogram itu, terdapat pemandangan ikon empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan," katanya sambil menambah ia mengambil masa kira-kira dua bulan untuk disiapkan.
Bagi Cef Razaha Harun pula, pasukannya memilih tema 'Menjunjung Kasih' dan menghias kek berbentuk peralatan tradisional Melayu seperti tepak sireh, dulang dan keris seberat 40 kilogram.
"Saya bersama dua cef lain iaitu Cef Scott Delfield dan Cef Fairuz Harun mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan kek berkenaan kerana membuat ukiran halus seni Melayu pada permukaan dan peralatan di kek berkenaan," katanya.
Razaha berkata meskipun tugasan menyiapkan kek itu mengambil masa namun pasukannya daripada Brahim's Airline Catering tetap memastikan kek yang dihasilkan berkualiti dan sedap.
Cef Koperal Sarjan Azam Abdul Razak daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukannya menghasilkan kek bertemakan 'Taat Setia ATM' yang dihiasi tombak, gelang tombak dan bunga mawar.
"Kek itu yang seberat 56 kilogram melambangkan keutuhan ATM, keberanian dan kesetiaan pasukan dalam menjaga kedaulatan negara.
"Kami gembira dan bangga kerana selain meluahkan kreativiti untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, kami juga berpeluang berbuat kebajikan kerana kek itu dihadiahkan kepada golongan tidak bernasib baik," katanya.
Persembahan kek merupakan antara acara pada setiap sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
- Bernama
