Bapa kepada pengantin kontroversi yang cuba berkahwin mengikut cara Hindu berkata, beliau pernah membuat aduan kepada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) mengenai cubaan mengembalikan isteri dan empat anaknya kepada agama asal.
Abdul Majeed Gulam Kader, 54, bagaimanapun berkata, tiada sebarang tindakan dilakukan oleh pihak berkenaan berhubung aduan yang dibuatnya pada tahun 1996, lapor Berita Harian hari ini.
“Ia menyebabkan isteri dan empat anak kami mengikut ajaran dan pegangan agama asal mentua.
“Campur tangan keluarga mentua berlaku sebelum anak saya berusia belasan tahun manakala saya pula hilang punca pendapatan dan menganggur.
“Keluarga mentua beragama Hindu dan isteri menganut Islam pada 1979. Saya dilahirkan sebagai Islam tetapi difitnah dengan nama asal Mahendran seperti dihebahkan media,” katanya dipetik daripada laporan harian itu.
Tambahnya lagi, beliau sering bertengkar dengan isteri dan keluarga mertuanya ekoran sikap keluarga mertua yang menerapkan ajaran agama Hindu kepada anak-anak mereka ketika beliau keluar bekerja.
Keadaan itu dilaporkan menyebabkan Abdul Majeed tertekan lalu terlibat dengan aktiviti penagihan dadah sehingga di penjarakan tiga bulan pada tahun 1990.
Setelah itu, pada tahun 2000, satu pergaduhan besar berlaku antara beliau dan keluarga mertua kerana beliau menegur anak ketiganya, Zaleha yang suka keluar malam sehingga beliau keluar dari rumah mereka.
“Keluarga mentua tidak suka cara saya menegur dan saya ambil keputusan untuk berpisah,” katanya.
Pada 2 Jun lalu, majlis perkahwinan anaknya Zarina mengikut cara Hindu mengundang kehadiran penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
