ADUN Seri Andalas Dr Xavier Jeyakumar mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Malaysiakini sekiranya portal itu tidak memohon maaf kerana menyiarkan artikel yang didakwa memfitnah beliau.

Beliau berkata artikel berkaitan dakwaan rasuah aktivis Badrul Hisham Shaharin yang disiarkan pada 5 Jun lalu adalah tidak benar sama sekali dan merosakkan imej beliau.

"Banyak media lain mengambil artikel itu dan menyiarkan semua. Ia tidak benar.

"Anda tak mengambil respon saya. Jika anda bertanggungjawab, anda patut tunggu jawapan saya sebelum terbitkan artikel itu," kata beliau kepada Malaysiakini selepas sidang media beliau hari ini.

Wartawan Malaysiakini yang menulis laporan itu telah cuba menelefon Xavier sebanyak lima kali dan menghantar SMS kepadanya tetapi tidak berbalas.

Beliau kemudiannya menjawab dan ia kemudiannya disiarkan .

Xavier dengan tegas menyatakan ia menjatuhkan imejnya terutama dengan pemilihan parti yang masih berjalan.

Beliau yang juga bekas exco kerajaan negeri menolak untuk mengulas mengenai satu lagi kes saman Malaysiakini yang melibatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno.

“Saya tak mahu bercakap mengenai Najib tetapi artikel ini amat tidak benar.

"Ia mencemarkan imej saya sebagai seorang warganegara yang mengikut undang-undang, ADUN dan bekas exco negeri serta memegang jawatan tinggi dalam PKR.

"Pada masa sama pemilihan parti masih berlangsung dan perkara ini menjejaskan imej saya," kata beliau.

Sementara itu peguam beliau David Samuel berkata akan menghantar beberapa lagi surat tuntutan kepada beberapa media, suratkhabar, penulis blog dan individu lain yang membuat kenyataan atau menerbitkan semula artikel Malaysiakini itu.

"Kami beri tempoh 48 jam kepada mereka untuk meminta maaf. Sepanjang minggu ini kita akan terus menghantar surat sehingga minggu hadapan.

"Kemudian kami akan memfailkan kes di mahkamah sekiranya surat tidak dijawab," kata beliau kepada Malaysiakini .

Sehingga kini surat tuntutan telah dihantar kepada Malaysiakini , Badrul dan akhbar Tamil Malar .

Lagi berita dari pengarang :
Lagi berita seperti ini :
Paling Popular
Terkini