Dua lelaki - seorang penjaga pusat ternakan ikan dalam sangkar dan seorang suku kaum Suluk - dilarikan oleh dua lelaki bersenjata di Kampung Sapang, barat Pulau Timbun Mata, di Semporna tengah malam tadi.
Menurut laporan awal, penjaga pusat ternakan itu dipercayai bernama Chan Sai Chiun, 32, berasal dari Perak dan lelaki Suluk itu yang hanya dikenali sebagai Mazlan berumur sekitar
20-an.
Mereka dikatakan diculik kira-kira pukul 12.40 tengah malam tadi di pusat ternakan ikan milik syarikat Davel Bay di Semporna.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP Omar Mamah mengesahkan kejadian itu ketika dihubungi Bernama.
Ini merupakan kes penculikan ketiga di kawasan pantai timur Sabah tahun ini.
Pada 6 Mei lepas, lima lelaki bersenjata menculik seorang pengurus syarikat ternakan ikan dalam sangkar warga China di Pulau Baik di Lahad Datu, sebulan selepas seorang pelancong
wanita warga China diculik di sebuah resort di Semporna.
Sementara, Bernama melaporkan isteri mangsa - Chin Paek Nyuen, 40 - terdengar suaminya berkata: "Jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu," sebelum dia dipercayai dilarikan dua lelaki bersenjata tersebut.
Paek Nyuen terdengar suaminya berkata demikian selepas penjenayah terbabit cuba memecah pintu bilik di mana dia dan anak perempuannya yang berusia dua tahun tidur.
"Saya hanya menyedari kejadian itu selepas mendengar anjing menyalak. Apabila saya keluar untuk melihat apa terjadi, saya ternampak dua lelaki bersenjata serta memakai topeng telah
menahan suami.
"Terkejut dengan kejadian itu, saya terus masuk ke bilik dan beberapa minit kemudian, penculik itu datang dan cuba untuk memecahkan pintu bilik. Pada masa yang sama, suami saya
berkata 'jangan kacau isteri saya. Saya akan ikut kamu' membuatkan penculik itu terus beredar meninggalkan tempat ini," katanya ketika ditemui di pusat ternakan ikan dalam sangkar itu, hari ini.
Dia berkata selain menculik suaminya dan seorang pekerja di situ, penjenayah terbabit turut melarikan beberapa barangan termasuk sebuah televisyen dan enjin bot.
Paek Nyuan juga berkata suaminya mengusahakan pusat ternakan itu bersama dua lagi rakan kongsi.
Sementara itu, di KOTA KINABALU, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri ACP Omar Mamah menafikan tanggapan bahawa pengusaha ternakan ikan dalam sangkar menjadi sasaran 'penculikan' untuk tebusan.
Beliau berkata polis masih menyiasat sama ada kumpulan itu terbabit dalam kes penculikan seorang pelancong China di Singamata Adventures Reef Resort di Semporna pada 2 April lalu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman maksimum penjara seumur hidup dan
enam sebatan, jika sabit kesalahan.
"Setakat ini, belum ada sebarang tuntutan diterima dan polis akan menyiasat jika ada faktor orang dalam... jangan membuat sebarang spekulasi buat masa ini," katanya dalam satu sidang
akhbar di sini hari ini.
Omar berkata pihaknya dimaklumkan kejadian itu oleh rakan kongsi mangsa.
Beliau berkata semasa kejadian, terdapat lagi dua pekerja dan seorang anak saudara Chan berusia dua tahun yang tinggal bersama mangsa serta isteri.
Katanya, polis percaya penculik berjaya meloloskan diri ke Pulau Sitangkai (Filipina) yang mengambil masa 40 minit dan ada suspek lain terlibat.
Beliau berkata semasa kejadian, tiada tembakan dilepaskan di pusat ternakan yang tidak mempunyai pegawal keselamatan terlatih itu.
- Bernama
