Kelewatan menyiapkan projek Ibu Pejabat Polis (IPD) Sentul dan kelewatan perpindahan ke bangunan baru menyebabkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terpaksa menanggung kos sewaan sebanyak RM73,512 dari Julai hingga Disember 2013.
Menurut Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2, Perakuan Serahan Kerja Siap telah dikeluarkan Jabatan Kerja Raya (JKR) Wilayah Persekutuan pada 5 Jun 2013, bagaimanapun, bangunan itu hanya diduduki sepenuhnya pada Januari 2014.
"Dalam tempoh pembinaan, Balai Polis Sentul telah beroperasi sementara di premis yang disewa di SO1 Level 1, Putra Majestik AT. Lot 29 Sek 83, Jalan Kasipillay dengan kadar sewaan RM12,252 sebulan.
"Tempoh sewaan adalah selama tiga tahun bermula 1 April 2010 hingga 30 Mac 2013, bagaimanapun, ia dilanjutkan setahun lagi memandangkan perpindahan ke bangunan baru tidak dapat dilaksanakan mengikut masa yang dirancang," menurut laporan itu yang dibentangkan di Dewan Rakyat di Kuala Lumpur hari ini.
Berdasarkan maklum balas KDN, kelewatan kemasukan ke bangunan baru disebabkan pihak pengurusan IPD Sentul hanya menerima kunci bangunan pada 25 November 2013 selain terdapat beberapa isu yang belum diselesaikan seperti tiada perkhidmatan talian telefon dan Internet.
Jabatan Audit Negara turut mendapati projek itu hanya disiapkan pada 31 Mei 2013 selepas empat lanjutan masa selama 483 hari diluluskan, walaupun mengikut syarat kontrak, tarikh siap asal projek itu sepatutnya pada 3 Februari 2012.
Ini berikutan beberapa masalah seperti reka bentuk cerucuk dibuat semula selepas penemuan 'Granite Grade A', kelewatan perunding elektrik mengemukakan 'Construction Drawing' dan menyiapkan lukisan pembinaan untuk kerja elektrik dan kerja-kerja tambahan.
Bagi prestasi kewangan projek, pihak Audit mendapati ia kurang memuaskan kerana sehingga 31 Disember 2013, jumlah kos projek adalah melebihi peruntukan yang diluluskan.
"Lebihan kos berjumlah RM1.54 juta (dua peratus) daripada siling peruntukan pembiayaan Private Finance Initiative (PFI) yang telah dimuktamadkan iaitu RM77 juta.
Selain itu, pihak Audit berpendapat pembinaan pagar keselamatan di hadapan balai itu perlu sebagai langkah keselamatan memandangkan kedudukan bangunan yang berhampiran dengan jalan utama dan terdedah kepada pencerobohan.
Maklum balas KDN mengatakan pembinaan pagar keselamatan tidak termasuk dalam skop projek pada masa itu kerana mengamalkan konsep mesra pengguna, bagaimanapun, atas penelitian keadaan keselamatan, PDRM membuat pelawaan sebut harga untuk pembinaan pagar itu dan akan disiapkan dalam tempoh 45 hari bermula minggu kedua bulan lepas.
-Bernama
