Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Aksi Muller tenggelamkan gaya 'bintang' Ronaldo

Pagi semalam dunia sukan dikejutkan dengan berita tokoh sukan Formula 1 Jerman Michael Schumacher yang sedar dari koma di Perancis.

Mereka yang mengenali juara dunia F1 ini tahu betapa gilanya beliau terhadap bola sepak, hal ini sekaligus memberi suntikan semangat kepada pasukan bola sepak kebangsaan Jerman.

Anak buah Joachim Low yang dianggap pasukan paling konsisten sejak Piala Dunia 2006, satu-satunya pasukan selain Belanda yang mempunyai purata lebih dua jaringan gol dalam pusingan kelayakan.

Barisan tengah mereka yang membariskan pemain seperti Mesut Oezil, Sami Khedira dan Toni Kroos amat menggerunkan dengan pemainan pantas, hantaran padu dan rajin sehingga menyumbangkan purata gol mereka ketika kelayakan mencecah 3.6 gol setiap perlawanan.

Satu-satunya kelemahan mereka ialah 'set-piece' apabila hanya menjaringkan satu dari 36 gol mereka menerusi sepakan sudut di pusingan kelayakan.

Portugal hadir dengan reputasi bersama pemain paling bernilai di dunia Christiano Ronaldo yang menjadi ikon bola sepak masa kini. Dan penguasaan pemain tengah Raul Meireles yang mempunyai jambang terbaik pada temasya kali ini seakan rapuh.

Bagaimanapun gol pertama hadir menerusi sepakan penalti selepas penyerang Bayern Munich Mario Goetze yang dijatuhkan pada minit ke-10.

Aksi Muller

Thomas Muller, seolah meresap semangat lagenda Jerman Barat dengan nama keluarga yang sama, Gerd Muller, 'mengamuk' dalam padang selepas menyelesaikan penalti itu dengan tenang.

Gol kedua menerusi tandukan Matt Hummels seolah menutup satu-satunya kelemahan juara 3 kali piala dunia ini dan seterusnya menjadi pentas betapa Jerman mungkin akan memenangi sekali lagi kejohanan dengan penyerang bernama Muller.

Aksi Muller menggelecek dan merembat dengan kedua-dua kakinya menghiburkan jutaan penonton yang tidak mahu Portugal menang dan tenggelamkan gaya 'bintang' Christiano Ronaldo

Muller kemudiannya menjaringkan ketiga pada minit ke-45 dan ke-78 dan keempat bagi mencatatkan pemain pertama melakukan hatrik dalam temasya berprestij ini.

Sementara Portugal pula seolah hilang punca dan dilihat hanya mampu cuba melorongkan bola kepada kapten mereka, Ronaldo yang dikawal rapi barisan pertahanan diterajui kapten Jerman, Philip Lahm.

Apabila pengadil dari Serbia melayangkan kad merah kepada pemain pertahanan Portugal Pepe pada minit ke-30, nasib Portugal seolah sudah ditetapkan.

Dan mereka senasib dengan negara jiran Sepanyol dalam kekalahan memalukan dalam perlawanan pembukaan Piala Dunia 2014 bagi kumpulan masing-masing. Jerman 4, Portugal 0.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS