Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

ADUN DAP Seri Delima, RSN Rayer dijangka didakwa esok atas tuduhan menghasut berhubung kenyataannya "Umno celaka".

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dalam satu kenyataan hari ini mengesahkan Rayer akan didakwa di Mahkamah Sesyen George Town bagi kesalahan menyebut perkataan menghasut semasa sesi perbahasan di dalam Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.

    

Katanya, Jabatan Peguam Negara memutuskan untuk mendakwanya selepas mempertimbang undang-undang dan fakta berhubung kejadian itu serta keterangan yang ada.

  

Waran tangkap telah dikeluarkan bagi mengemukakan mereka untuk didakwa di mahkamah esok," katanya.

Difahamkan pihak polis telah memanggil Rayer hadir di Balai Polis Daerah Timur Laut di Jalan Pattani.

Dalam reaksi segera, Rayer berharap dapat membayar ikatjamin

malam ini "atau saya terpaksa tidur di sini".

Beliau masih menunggu untuk diberitahu berkaitan dakwaan terhadapnya.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalatrash Wahid berkata minggu lepas bahawa siasatan dijalankan selepas lebih 40 aduan dibuat di seluruh negara terhadap Rayer.

Ditemui di balai polis, Mior Faridalatrash berkata Rayer akan didakwa kerana mengucapkan "Umno celaka" di dewan undangan (DUN) Pulau Pinang pada 20 Mei.

Ditanya sama ada tidak ada imuniti untuk perkataan yang disebut di dalam Dewan, Mior Farid berkata: "Tidak"

Empat belas lelaki yang menyerbu masuk ke DUN untuk mencari Rayer, akan didakwa esok atas tuduhan menceroboh.

Sementara itu, Rayer yang diiringi isterinya, bapanya dan exco kerajaan negeri Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo, membayar ikat jamin pada jam 5.25 petang.

Beliau enggan mengulas mengenai tuduhan terhadapnya, dan berkata beliau tidak mahu menjejaskan kes itu, dan tidak mahu menyatakan sama ada beliau terkejut atau risau dengan perkembangan terkini itu.

Jagdeep (kanan) berkata Rayer ditahan secara rasmi dan telah

membayar ikat jamin dan akan hadir di mahkamah esok.

Teliti pertuduhan

Peguam Rayer akan meneliti pertuduhan terhadapnya untuk persediaan di mahkamah sesyen pagi esok, kata Jagdeep yang juga ADUN Dato Keramat.

Ketika ditemui lagi kemudiannya, Mior Faridalatrash berkata Rayer akan didakwa di bawah Seksyen 4.1 (b) kerana mengucapkan kata-kata berunsur hasutan.

Ditanya lagi tentang imuniti, Mior berkata, "Biar mahkamah putuskan sama ada beliau mendapat imuniti atau tidak."

Dari segi sejarah, Akta Hasutan telah digunakan terhadap mereka yang kritikal terhadap kerajaan, termasuk ahli Parlimen.

Kes terbaru sebelum Rayer ialah mendiang MP Bukit Gelugor Karpal Singh, yang didapati bersalah di bawah Akta tersebut dan didenda RM4,000 kerana menghina Sultan Perak pada tahun 2009.

Karpal meninggal dunia pada 17 April dalam nahas di Lebuhraya Utara-Selatan, berhampiran Gua Tempurung, Perak.

Di bawah Akta Hasutan, imuniti ahli Parlimen boleh digantung, jika didapati bersalah atas tuduhan menghasut. [Baca berita penuh]

Turut akan didakwa Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Abdullah Zaik Abd Rahman kerana menyebut perkataan menghasut berhubung kenyataan bahawa kedatangan pendatang Cina bersama penjajah British adalah satu bentuk pencerobohan.

Sementara itu Bernama melaporkan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai berkata Gopinath a/l Jayaratnam dan Hidayat Mohamed akan didakwa bawah Akta Hasutan 1948.

    

Gopinath akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang bagi kesalahan menerbitkan satu penerbitan menghasut melalui satu kenyataan di akaun Facebooknya yang menghina Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW.

    

Manakala Hidayat pula akan dituduh di Mahkamah Sesyen Klang bagi kesalahan menerbitkan penerbitan menghasut melalui satu kenyataan di akaun facebooknya yang menghina penganut agama Hindu semasa perayaan Thaipusam pada 17 Januari 2014.

ADS