Hampir 100 nelayan berkumpul untuk menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, menteri dan Dewan Rakyat mengenai masalah pencerobohan nelayan asing di tempat mereka.
Mereka yang memperkenalkan diri sebagai 'Nelayan Pantai Timur' berhimpun di depan Parlimen pada 9.30 pagi tadi.
Mereka membawa sepanduk mendesak kerajaan melakukan sesuatu untuk melindungi keselamatan diri dan nasib mereka yang tergugat kerana keganasan penceroboh dari Vietnam.
Empat wakil mereka kemudiannya dibenarkan masuk ke Parlimen bagi bertemu ahli parlimen dan wakil menteri kira-kira jam 11.30 pagi.
Kumpulan ini turut bertembung dengan kumpulan demonstrasi penyokong pro-Felda yang lebih besar di Jalan Parlimen yang berhimpun pada waktu yang hampir sama.
Polis bantuan Parlimen bagaimanapun mengarahkan kedua kumpulan itu berkumpul di bahagian berbeza di jalan itu.
Kumpulan nelayan diarah berhimpun di bahu kiri jalan sementara kumpulan pro-Felda pula di sebelah kanan.
Memorandum itu menuntut kerajaan dan Agensi Penguatkuasaa Maritim Malaysia (APMM) mengambil langkah drastik berhubung menangani perkara itu.
Tangan ghaib
Memorandum itu turut diserahkan kepada Ahli Parlimen PAS Kuala Nerus Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
Ketika ditemui Malaysiakini , Khairuddin berkata beliau mahu siasatan dan pembersihan mesti dibuat terhadap pemilik lesen rakyat tempatan yang didakwanya menggaji awak-awak Vietnam.
Beliau turut mempersoalkan sama ada terdapat tangan ghaib mewakili tauke besar rakyat asing, menjadikan pemegang lesen rakyat tempatan hanya sebagai “alibaba”.
"Ini merupakan pengkhianatan terhadap negara.
"Kehadiran bot-bot nelayan yang diberi lesen atas nama rakyat tempatan sedangkan awak-awaknya adalah nelayan Vietnam di perairan Terengganu, Kelantan dan Pahang.
"Mereka (nelayan Vietnam) melakukan aktiviti tangkapan menggunakan konsep pukat tunda di kawasan nelayan zon (pesisir pantai) yang telah diharamkan oleh kerajaan," katanya.
Turut bersama beliau hari ini bertemu Shahidan, tiga wakil nelayan iaitu Ayub Abdullah, Bahiyuddin Awang dan Hamdan Mamat.
"Hasil perbincangan positif. Datuk Seri Shahidan kata nak buat jawatankuasa 'ad-hoc' untuk tangani perkara ini," katanya.
