Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sultan titah JAIS rujuk pada pendakwa raya
Diterbitkan:  Jun 19, 2014 2:50 PM
Dikemaskini: 12:11 PM

Sultan Selangor menitahkan agar Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) segera merujuk kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan sama ada naskhah Bible yang dirampas dari Persatuan Bible Malaysia akan dipulangkan atau dilupuskan.

Setiausaha sulit baginda, Datuk Mohamad Munir Bani dalam kenyataannya menyebut, Sultan Selangor berhasrat agar keputusan berkenaan dilaksanakan mengikut proses undang-undang.

Kenyataan itu bagaimanapun tidak menyatakan dengan jelas sama ada JAIS perlu merujuk kepada mahkamah sivil atau mahkamah syariah.

"Prosedur undang-undang menetapkan pelupusan barang kes yang dirampas semasa serbuan dan siasatan boleh dirujuk oleh pihak pendakwa raya kepada mahkamah bagi mendapatkan satu perintah sama ada perintah pelupusan atau perintah pemulangan," kenyataan itu dipetik.

Ia turut menyatakan bahawa titah berkenaan selari dengan arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Peguam Negara – agar JAIS bertindak mengikut undang-undang.

"Oleh itu JAIS perlu segera merujuk perkara ini kepada pihak pendakwa raya untuk tujuan rujukan dibuat di mahkamah.

"Tindakan ini perlu dilakukan demi menjaga kedaulatan undang-undang dan sensitiviti kedua-dua belah pihak yang terlibat," kata Mohamad Munir lagi dalam kenyataannya.

'Jangan politikkan'

Menurut Munir, Sultan Selangor juga menggesa agar itu tidak dipolitikkan dan diselesaikan oleh pihak berkuasa dan pihak yang terlibat.

"Di samping itu, baginda berharap ahli-ahli politik tidak menggunakan isu ini untuk kepentingan peribadi, kumpulan atau parti mereka.

"Biarlah perkara ini diselesaikan di antara pihak-pihak yang terlibat dan juga pihak yang diberi kuasa untuk menyelesaikannya.

"Isu agama adalah isu yang sensitif. Oleh itu baginda meminta supaya semua pihak berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan," kenyataan itu dipetik.

Menurut Munir, Sultan Selangor turut menekan bahawa baginda mengambil sikap yang selaras dengan undang-undang di dalam hal ini.

"Baginda juga membuat penegasan bahawa setiap tindakan dan titah baginda dalam apa jua isu sama ada berkaitan dengan agama atau negeri, tidak pernah membelakangkan undang-undang dan tidak pernah cuba bertindak mengatasi undang-undang," kenyataan itu dipetik.

'Masih dianggap barang larangan'

Sementara itu, seorang peguam yang mahir dengan prosedur kes begini berkata langkah menyimpan atau memusnahkan kitab Bible yang dirampas itu adalah perkara biasa.

Beliau yang enggan namanya disiarkan berkata, kontroversi timbul kerana orang ramai tidak faham dengan undang-undang.

Jelasnya, walaupun perkara itu telah dijelaskan oleh peguam negara, barang yang dirampas masih lagi dianggap sebagai barang larangan.

"Ia seperti kes dadah atau seseorang yang memiliki dokumen sensitif, pendakwaan mungkin tidak mendakwa individu itu tetapi adakah barangan itu dikembalikan? Tidak," kata peguam itu.

Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan menghadap Sultan Selangor hari ini untuk mendapatkan pandangan baginda dalam menyelsaikan kemelut rampasan Bible oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tidak lama dahulu.

Hasil perbincangan itu akan diumumkan Khalid pada Isnin depan.

ADS