Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Presiden Majlis Gereja-gereja Sabah Datuk Thomas Tsen berkata, naskhah Bible kontroversi yang dirampas JAIS bukan untuk kegunaan dakwah kepada orang Islam.

Oleh itu, alasan bahawa ia akan menyebabkan kekeliruan kepada orang Islam adalah tidak adil kerana ia sebenarnya bertujuan untuk digunakan oleh orang Kristian, katanya.

Paderi itu berkata demikian seperti dipetik dalam satu laporan akhbar tempatan Sabah, Daily Express hari ini.

“Adalah tidak adil untuk mengatakan kami ada tujuan seperti itu (untuk pengaruhi orang Islam). Ini adalah Bible kami. Mengapa kami secara tiba-tiba tidak bebas menggunakannya?

“Jika pendapat mereka bahawa ianya berbahaya,tetapi keseluruhan Bible juga boleh dibaca dalam Internet yang terdapat dalam semua bahasa," katanya.

Beliau turut menjelaskan, Bible dalam bahasa Melayu dan Iban itu lebih sesuai digunakan kerana kegunaannya lebih meluas di kalangan warga Sabah dan Sarawak.

“Tiada hasrat kami untuk mempengaruhi orang Islam. Tetapi ia sangat sukar kerana terdapat ramai warga Sabah dan Sarawak yang bertutur dalam bahasa Melayu yang bekerja di Semenanjung," katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sehingga kini masih berkeras agar agensi pelaksananya, JAIS tidak memulangkan naskhah yang dirampas dari BSM pada Januari lalu.

MAIS juga berkeras agar timbalan pendakwa raya Selangor merujuk mahkamah bagi mendapat perintah pelupusan barang kes sebagaimana yang diperuntukkan bawah seksyen 407A Kanun Acara Jenayah.

Pendirian itu bertentangan dengan hasrat kerajaan negeri Selangor, yang mengarahkan JAIS memulangkan semula naskhah berkenaan.

Kemelut itu berlarutan sehingga Sultan Selangor sendiri mengeluarkan titah hari ini agar JAIS merujuk kepada pihak pendakwaan untuk memutuskan sama naskhah Bible yang dirampas dari Persatuan Bible Malaysia akan dipulangkan atau dilupuskan.

ADS