Universiti Teknologi Mara (UiTM) mempertahankan langkah untuk membina kampus baru melalui syarikat konsesi, dengan alasan kaedah yang itu, antaranya, memberi nilai wang yang baik.
"Kaedah PFI (Private Finance Initiative) merupakan perolehan yang cepat di samping mempunyai 'value for money' kerana proses penilaian yang ketat melalui bengkel pengurusan nilai serta berkongsi pengurusan risiko projek dengan syarikat yang melaksanakan projek tersebut," kata UiTM dalam satu kenyataan semalam.
Kenyataan itu dibuat berikutan beberapa sidang akhbar oleh Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mendakwa bahawa syarikat-syarikat kroni telah dianugerahkan kontrak untuk membina dan menguruskan enam kampus universiti berkenaan.
Beliau mendakwa ekoran itu, kerajaan akan membayar RM8.6 bilion dan bukannya kos asal hanya RM1.8 bilion.
UiTM menegaskan bahawa projek PFI dapat dilaksanakan dengan segera melalui pembiayaan pihak swasta setelah projek mendapat kelulusan kerajaan.
Pembayaran kepada syarikat konsesi hanya bermula setelah projek siap sepenuhnya dan diserahkan kepada Kerajaan, tambahnya.
Sekiranya projek tidak disiapkan atau lewat disiapkan, tegasnya, syarikat konsesi tidak akan mendapat sebarang bayaran
"Tidak timbul isu menyelamatkan projek memandangkan risiko pembinaan merupakan tanggungjawab syarikat konsesi yang mana projek tersebut akan diserah kepada Kerajaan apabila ia siap sepenuhnya," katanya.
"Syarikat Konsesi bagi projek UiTM ini dibenarkan untuk membuat refinancing dan keuntungan daripada pelaksanaan tersebut dikongsi sama rata dengan pihak kerajaan," tambahnya.
Menurut kenyataan itu lagi, pembayaran balik kepada syarikat konsesi termasuk bayaran penyenggaraan dan penggantian komponen utama seperti sistem pendawaian dan lif.
"Sehubungan itu, pihak UiTM tidak perlu mengeluarkan kos untuk menyenggara dan penggantian komponen utama dalam tempoh 20 tahun.
"Dengan adanya penyenggaraan ini, UiTM akan menerima bangunan ini pada akhir tempoh konsesi dalam keadaan baik dan seperti baru," tambahnya.
