BERITA Malaysiakini

Zam: Muhyiddin pendam kehampaan

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Seorang bekas menteri Tan Sri Zainuddin Maidin tidak menunjukkan rasa terkejut dengan spekulasi bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin akan meletak jawatan sebagai timbalan perdana menteri.

Zainuddin, yang rapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, rakan karib Muhyiddin sendiri sudahpun maklum dengan niat timbalan presiden Umno itu untuk berundur.

"Walaupun alasannya adalah umur tetapi beliau dikatakan menyimpan perasaan kecewa yang mendalam dalam beberapa hal," kata Zainuddin melalui tulisan di blog zamkata.blogspot.com

Zainuddin bagaimanapun tidak menjelaskan sebab di sebalik kekecewaan yang didakwa ditanggung oleh Muhyiddin.

Tulisan itu timbul susulan kenyataan Muhyiddin, 67, semalam yang menafikan dessas desus berhubung peletakan jawatan tersebut.

Muhyiddin juga berkata beliau akan meneruskan khidmat dalam pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kerana perdana menteri masih menaruh kepercayaan kepadanya.

"Tak ada (letak jawatan). Saya masih ada di sini lagi, masih alive and kicking," katanya kepada pemberita semalam.

Spekulasi itu timbul rentetan daripada cakap-cakap yang mendakwa Najib akan membuat rombakan Kabinet.

Ia didakwa melibatkan kedudukan Muhyiddin diganti oleh sepupu Najib, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kini menjadi menteri pertahanan.

Zainuddin dalam blognya berkata spekulasi tersebut kini tersebar luas dan beliau sendiri menerima banyak pertanyaan berhubung perkara itu.

Beliau juga menyebut, timbul cakap-cakap bahawa jawatan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga akan diganti dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, yang kini merupakan menteri pelancongan.

Laporan setakat ini mendakwa rombakan tersebut akan melibatkan tiga naib presiden Umno, Hishammuddin, Zahid dan juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal.

Zainuddin dalam tulisannya turut menegur wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin yang didakwa menunjukkan prejudis melalui tulisan yang mendakwa Najib akan digugurkan dari jawatan menteri kewangan.