Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Bertemu Nik Aziz untuk sucikan skandal'
Diterbitkan:  Jun 20, 2014 6:25 AM
Dikemaskini: 12:02 PM

Satu tulisan diterbitkan laman web Pemuda Umno mendakwa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sering dipergunakan oleh pemimpin Pakatan Rakyat yang mengambil kesempatan bertemu mursyidul am PAS itu untuk "menyucikan" skandal yang dihadapi.

Tulisan pojok oleh seorang penulis bernama Ameen Latiff itu mendakwa, ia bagi mengambil kesempatan ke atas golongan yang taksub kepada Nik Abdul Aziz, kerana penyokong tersebut didakwa akan menganggap pertemuan seperti itu sebagai penyelesaian kepada sesuatu isu.

"DAP tampil menggunakan taktik ampuh ini demi untuk mengekalkan status quo penguasaan mereka ke atas PAS. Elemen ini digunakan sebagai teras utama atau asas kepada pelan besarnya iaitu “pecah dan perintah”.

"Tentunya pendekatan penyucian dosa sangat menguntungkan kerana apapun penghinaan terhadap Islam akan dianggap selesai oleh ahli PAS hanya dengan mendengar kenyataan kononnya selesai berserta gambar si pesalah bersama Nik Aziz.

"Dengan itu, akan bertautlah kembali kerjasama politik ahli PAS sambil mengembangkan hidung berbangga-bangga kononnya DAP berjaya ditarbiyah, dan tidak dilupakan (dakwaan ditimbulkan) bahawa ini hanyalah gembar-gembur dan fitnah dari Umno semata-mata," tulisan itu dipetik.

Tulisan itu antara lain membangkitkan mengenai pertemuan anggota Exco Selangor Elizabeth Wong dengan Nik Aziz pada tahun 2009.

Pertemuan itu berlangsung selepas satu rakaman gambar yang menunjukkan Wong dalam keadaan mengaibkan tersebar luas.

Selain itu tulisan itu juga membangkitkan mengenai  pertemuan MP DAP Teo Nie Ching dengan Nik Abdul Aziz pada tahun 2010, ekoran kontroversi yang timbul selepas Teo menyampaikan ucapan di sebuah surau di Kajang.

"Namun, segalanya terlerai apabila bertemu dengan Nik Aziz. Kembang kempis hidung ahli PAS mengatakan bahawa ianya selesai," tulisnya lagi.

Ia seterusnya membayangkan bahawa calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud yang berpendirian tegas dalam soal pelaksanaan hudud juga mungkin akan mengambil langkah sama sekiranya menang dalam pilihan raya kecil Teluk Intan.

ADS