Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu tukar MB: 'Ambil kira pandangan rakyat'
Diterbitkan:  Jun 22, 2014 6:54 PM
Dikemaskini: Jun 23, 2014 4:34 AM

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Ab Samad meminta seluruh komponen Pakatan Rakyat mengambil kira pandangan rakyat dalam isu pertukaran Menteri Besar Selangor.

Menurut beliau semua komponen Pakatan iaitu PAS PKR dan DAP telah turun merayu undi mereka dari rakyat Selangor pada Pilihan Raya Umum lalu dan pandangan rakyat amat diperlukan tatkala ini.

"Jangan sama sekali hasrat rakyat biasa diketepikan. Mereka juga mempunyai hak kerana seorang Menteri Besar itu bukan sahaja milik orang politik tetapi juga milik seluruh rakyat," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jumaat lalu, portal themalaysianinsider melaporkan Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Jaafar Sulaiman berkata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim kini tidak lagi mendapat sokongan beberapa pemimpin PAS Selangor.

Menurut Jaafar, sikap Khalid yang sering membuat keputusan secara bersendirian dan seringkali membelakangkan Pakatan Rakyat menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka.

Sikap Khalid itu dianggap membawa masalah apabila kompenan Pakatan Rakyat yang lain turut dikutuk serta dikritik jika keputusannya tidak tepat atau salah.

Iskandar yang sebelum ini mempertahankan Khalid ketika memorandum bantahan oleh kelab penyokong ADUN Selangor yang diketuai bekas pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Othman akhir tahun lalu bagaimanapun tidak dengan jelas menyatakan pendirian beliau.

Iskandar yang juga exco kanan Selangor hanya mengadakan Pakatan tidak perlu mendengar pendapat 'kumpulan tertentu sahaja' dalam membuat keputusan itu.

Beliau turut memberi amaran nasib Pakatan dalam PRU akan datang mungkin terjejas sekiranya  rakyat 'tidak merestui'  pertukaran yang berlaku

"Pakatan Rakyat mesti mesra rakyat dan ini termasuk peka kepada kehendak rakyat.

"Biarlah pandangan kesemua kelompok dan peringkat rakyat diambil kira. Bukan hanya kumpulan-kumpulan tertentu sahaja," katanya.

ADS