BERITA

K'jaan kata gereja boleh guna kalimah Allah

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Jun 2014, 11:42 tengahari

Kerajaan mengumumkan bahawa penganut Kristian masih boleh menggunakan kalimah 'Allah' dalam upacara keagamaan kerana keputusan Mahkamah Persekutuan semalam hanya melibatkan penerbitan mingguan Katolik, The Herald .

Menurut satu kenyataan hari ini, seorang jurucakap menegaskan kerajaan masih komited dengan penyelesaian 10 perkara yang dikemukakan tiga tahun lalu.

Ia antara lain merujuk kepada keputusan jemaah menteri membenarkan import Bible dalam bahasa orang Asli, termasuklah bahasa Melayu dengan kalimah 'Allah'.

"Kerajaan menghormati keputusan mahkamah dan menggesa semua pihak mematuhinya.

"Penghakiman semalam hanya terpakai ke atas penggunaan kalimah 'Allah' oleh akhbar The Herald.

"Warganegara Malaysia beragama Kristian masih boleh menggunakan kalimah 'Allah' di dalam gereja," kata jurucakap kerajaan dalam kenyataan.

Kerajaan juga menggesa agar sebarang perbezaan diuruskan "secara aman berdasarkan undang-undang", serta melalui dialog dan semangat bertolak ansur.

Kenyataan yang sama turut memetik "pandangan peribadi" Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkenaan isu kalimah Allah dan Penyelesaian 10 Perkara yang dibuatnya pada bulan Februari lalu.

'Penyelesaian pragmatik'

Menurut Idris, penyelesaian itu tidak membiarkan terhadap sebarang usaha dakwah oleh bukan Islam kepada orang Islam begitu sahaja.

Menurutnya, label "Penerbitan Kristian" di muka hadapan Alkitab yang diedarkan di semenanjung juga adalah satu "penyelesaian pragmatik".

"Ini seperti amalan meletakkan amaran 'tidak halal' pada bahan makanan untuk memaklumkan orang Islam daripada mengambil makanan itu," katanya.

Katanya langkah itu membolehkan orang bukan Islam mengambil makanan tidak halan dan pada masa sama menjelaskan kepada orang Islam agar tidak memakannya.

Bagaimanapun, tindakan berdakwah oleh golongan bukan Muslim kepada golongan Muslim tertakluk di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, perkara tersebut menyebabkan beberapa enakmen di peringkat negeri digubal pada tahun 1988 bagi melarang bukan Islam daripada menggunakan beberapa istilah.

"Contohnya di Selangor, 34 perkataan dilarang termasuklah Allah, ulama, Haji, nabi, iman, injil, sheikh, insya Allah, fatwa, wahyu, syariah, dan lain-lain," tulisan beliau dipetik.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.