Pengerusi Landskap Malaysia Tun Jeanne Abdullah menggesa pihak berkuasa menguatkuasakan undang-undang yang menuntut pemaju menggantikan semula pokok yang ditebang.
Ini kerana katanya bilangan pemaju yang mewujudkan kawasan hijau atau menanam semula pokok yang dimusnahkan mereka semasa membangunkan sesuatu projek sangat kurang.
"Ini kerana lemahnya penguatkuasaan menurut Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 yang menggariskan antaranya mengganti semula pokok yang telah dimusnahkan akibat projek mereka.
"Akta sudah ada tetapi penguatkuasaan yang lemah menyebabkan mereka seolah-olah lupa tanggungjawab dan jika dibuat pun bagai 'melepaskan batuk di tangga', ini perlu dilihat semula," katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur malam tadi.
Terdahulu beliau menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang turut disertai Presiden Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil.
Jeanne yang juga isteri bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, berkata cabaran terbesar dalam melestarikan khazanah alam ialah kesedaran masyarakat yang masih menganggap isu itu sebagai remeh.
"Hari ini hal untuk mengekalkan kehijauan alam bukan hal yang utama, sedangkan tanah negara kita ini subur, tidak susah untuk tanam apa juga jenis pokok, kos juga tidaklah mahal.
"Program kesedaran mencintai alam juga kurang disiarkan media berbanding cerita orang bercerai," katanya.
Sehubungan itu beliau menyeru semua pihak agar bekerjasama menanam dan mengganti kawasan hijau yang ditebang atas nama pembangunan.
"Pembangunan tidak dapat dielak, namun ia perlu seiring dengan usaha melestarikan khazanah alam. Kita masih belum terlambat sebelum berlaku malapetaka suatu masa nanti," tegasnya.
Sementara itu Shariffa Sabrina mendakwa lebih 70 peratus kawasan hutan di negara ini sudah diceroboh akibat kegiatan pembalakan dan pembangunan yang tidak terkawal.
Justeru Peka katanya mencadangkan agar kerajaan negeri menghentikan pemberian lesen pembalakan selain penguatkuasaan Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 diperhebat.
Beliau juga berkata fenomena el-Nino yang melanda dunia sekarang berpunca daripada ketidakseimbangan dalam pembangunan yang menyaksikan pemusnahan kawasan hijau secara berleluasa.
- Bernama
