Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
SYABAS: Bekalan air terawat tak cukup
Diterbitkan:  Jun 26, 2014 9:48 AM
Dikemaskini: 6:30 AM

Sebahagian daripada 758,976 pintu rumah di beberapa kawasan di lima wilayah - sekitar Hulu Langat dan sebahagian Kuala Lumpur - terputus bekalan air dan mengalami tekanan rendah, berikutan pengeluaran air terawat dari loji-loji rawatan air yang berkaitan tidak dapat menampung permintaan.

Menurut Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), kawasan terbabit terputus bekalan air dan mengalami tekanan rendah sejak 17 Jun lalu disebabkan pengeluaran air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Sg Langat tidak dapat menampung permintaan air yang tinggi.

Manakala beberapa kawasan di sekitar Wilayah Klang/Shah Alam juga mengalami terputus bekalan air dan tekanan rendah tidak berjadual pada 24 Jun lalu

disebabkan penutupan sementara LRA Sungai Selangor Fasa 1 (SSP 1) yang diurus oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

"Ini berikutan gangguan bekalan elektrik dari jam 4 pagi hingga 6 pagi hari yang sama di loji rawatan air tersebut," kata Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat & Hal Ehwal Awam SYABAS, Priscilla Alfred.

"Ia sekali gus menyebabkan pengurangan pengeluaran air terawat daripada loji rawatan itu. Walaupun LRA SSP1 telah beroperasi semula, bekalan air ke kawasan yang terlibat masih belum pulih sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, katanya, beberapa kawasan di Wilayah Gombak, Kuala Lumpur dan Petaling pula mengalami terputus bekalan air dan tekanan rendah mulai 25 Jun lalu.

Katanya, ia disebabkan oleh pengeluaran air terawat dari LRA Sungai Selangor Fasa 3 (SSP 3) telah dikurangkan oleh SPLASH, berikutan berlakunya penurunan paras aliran air mentah Sungai Selangor.

Menurutnya, pengurangan pengeluaran air terawat dari LRA SSP1 dan LRA SSP3 mengakibatkan penurunan paras kolam-kolam utama yang menerima bekalan air dari kedua-dua loji rawatan air tersebut dan mengakibatkan gangguan bekalan air serta tekanan rendah.

Berikutan bekalan air terawat yang diterima oleh SYABAS tidak dapat menampung permintaan, katanya, sebahagian daripada kira-kira 758,976 pintu rumah

di lima wilayah mengalami terputus bekalan air dan tekanan rendah, terutama mereka yang berada di kawasan tinggi dan di penghujung sistem agihan.

Antara kawasan di wilayah Gombak ialah: Air panas, Aman Siara, Ampang Jaya, Ampang Water Front, Andaman Ukay, Astana Gemilang, AU1 – AU5, Balai Polis Gombak, Bandar Baru Ampang, Bandar Baru Selayang, Bandar Baru Wangsa Maju, Beverly Height, Bukit Antarabangsa, Bukit Idaman/Idaman Hills, Bukit Indah, Bukit Lela, Bukit Setiawangsa,  Bukit Wangsa Mas, Dagang Jaya/ Halaman Indah, Dataran Ukay, Desa bakti, Desa Hussein Onn, Desa Lembah

Pantai, Desa Melawati, Desa Minang, Gombak Setia, Harmonis, Industri Bolton, Intan Baiduri, Jalan Ampang, Selayang Utama, Sering Ukay, Setapak Jaya, Sri Edaran Kepong, Sri Gombak, Sri Melati, Sri Murni, Taman Ampang Indah, Taman Ampang Mewah, Taman Ampang Prima, Taman Ampang Utama, Taman Andaman

Wangsa Maju, Taman Beringin Jinjang, Taman Bidara, Taman Bukit Ampang, Taman Bukit Ampang Permai, Taman Bukit Jaya, Taman Bukit Jubina, Taman Bukit Kemensah, Taman Bukit Mas Melawati, Taman Bukit Mewah, Taman Bukit Mulia, Taman Bukit Utama, Taman Bunga raya, Taman Cahaya Indah, Taman Cemerlang, Taman Danau kota, Taman DAR, Taman Desa Setapak dan Taman Fadason

Di wilayah Petaling pula ia membabitkan seluruh USJ Subang.

Kawasan terbabit di Wilayah Kuala Lumpur ialah Flat DBKL Dato Keramat, Jalan Padang Tembak, Jalan Semarak, Jalan Gurney, Kementah, Pulapol, Wisma tanah, JUPEM, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), FELDA, Pusat Latihan Telekom, Jalan U-Thant, Jalan Ampang Hilir, Taman Pandan Jaya, Taman Cempaka, Taman Bakti, Taman Nirwana, Kampung Pandan Dalam, Taman Cahaya, Pandan Cahaya, Taman Dagang, Taman Shamelin Perkasa, MINDEF, Taman Tenaga, Taman Miharja, Taman Kobena, Desa Pandan, Flat Sri Melaka, Jalan Kent 1 hingga 7, Taman Putra Sulaiman, Taman Pandan Utama, dan Bandar Sri Permaisuri.

Priscilla berkata, gangguan bekalan air ini tidak dapat dielakkan disebabkan ketiadaan sumber bekalan air alternatif disalurkan ke kawasan yang terjejas.

"Ini kerana secara keseluruhan kapasiti bekalan air terawat sedia ada di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mencukupi dengan paras rezab bekalan air berada di sekitar kurang dari 1 peratus atau negatif apabila berlaku permintaan puncak.

"Pihak SYABAS menjangkakan pemulihan bekalan air mengambil masa yang agak lama dan tidak dapat ditentukan kerana ia bergantung kepada bilakah loji-loji rawatan air yang terlibat dapat mencapai pengeluaran maksimum dan juga jika terdapat sumber air terawat tambahan disediakan," katanya.

Bagi membantu mengurangkan kesulitan yang dihadapi pengguna di kawasan yang masih terjejas, beliau berkata, SYABAS terus menggerakkan lori-lori tangki air dan tangki statik untuk pengagihan bekalan air kecemasan.

"Bagaimanapun, keupayaan bantuan bekalan air kecemasan ini amat terhad dan tidak mampu untuk menampung sepenuhnya permintaan pengguna di kawasan yang terlibat.

"Keutamaan bantuan bekalan air kecemasan ini diberikan kepada pengguna kritikal seperti hospital kerajaan/swasta, pusat dailisis dan rumah kebajikan serta situasi yang amat memerlukan seperti upacara kematian atau kenduri.

"SYABAS akan melakukan pemantauan secara berterusan dan akan memaklumkan perkembangan terkini dari masa ke semasa melalui media massa," kata Priscilla.

Pada masa yang sama, katanya, SYABAS menjangka pengguna juga mungkin menghadapi kesukaran untuk menghubungi Pusat Panggilan SYABAS (PUSPEL) kerana kesesakan talian dan mereka diminta bersabar jika terpaksa menunggu lebih lama sedikit sebelum panggilan dijawab.

"Pengguna di kawasan yang terjejas atau tidak dengan gangguan bekalan air diminta agar sentiasa menggunakan air secara berhemah serta mengurangkan penggunaan air secara keseluruhan.

"Sebarang penjimatan ini boleh membantu mempercepatkan pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas dengan gangguan berkenaan," tambah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS