BERITA Malaysiakini

'Mungkin huru-hara jika Akta Hasutan dihapus'

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kemungkinan berlaku huru-hara sekiranya Akta Hasutan dihapuskan dan digantikan dengan Rang Undang-Undang (RRU) Perpaduan dan RUU Harmoni Nasional.

"Kita sudahpun mansuh ISA dan akta bagi membuang daerah penjenayah bersiri. Kita lihat kesan dari pemansuhan kedua-dua Akta ini ialah peningkatan berbagai jenis jenayah.

"Tetapi hasutan walaupun ada dilakukan tetapi tidak melampaui batas," tulis Dr Mahathir dalam blognya.

Katanya, apabila Akta Hasutan digugur, maka rakyat Malaysia akan bebas menghasut.

Dr Mahathir berkata, kedua-dua akta baru itu tidak akan menghalang hasutan yang akan berlaku.

Apabila akta itu dihapuskan, katanya, rakyat akan menerima pelbagai hasutan, termasuk hasutan untuk meminda perlembagaan Malaysia.

"Tidaklah mustahil mereka akan menghasut supaya institusi raja juga dihapuskan," tulis Dr Mahathir.

Di Thailand, katanya, ada undang-undang “Les Mejeste” yang melarang sebarang cemuhan terhadap raja dan institusi raja, tetapi di Malaysia undang-undang itu tidak ada.

"Pelampau di kalangan rakyat bebas mengkritik raja dan sistem beraja secara terbuka dan akhirnya membuat desakan supaya institusi raja dihapuskan.

"Tidak ada undang-undang yang boleh menahan mereka setelah ISA dan Akta Hasutan dimansuh.

"Ramai mungkin yang akan marah terhadap hasutan untuk menghapuskan sistem beraja. Tetapi kerana hasutan dibenar mereka yang berminat untuk mendiri Republik Malaysia berhak dan bebas untuk meneruskan kempen mereka.

"Kemungkinan ialah huru-hara akan berlaku dalam negara. Inilah kesan dari sikap liberal yang kita agungkan sekarang," tulisnya.