Kerajaan negeri Terengganu memperkenalkan program Terengganu English atau Trenglish bagi mengatasi masalah pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini yang gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Zakaria Hussin berkata jabatannya bekerjasama dengan Yayasan Terengganu dalam program itu yang dimulakan April
lalu bagi meningkatkan penguasaan dan penggunaan Bahasa Inggeris Komunikasi di kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah di negeri ini.
Usaha itu dilaksanakan berikutan statistik jabatan menunjukkan purata 5,500 orang atau 27 peratus daripada keseluruhan pelajar yang menduduki SPM di Terengganu setiap tahun gagal dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris sejak lima tahun lalu, katanya kepada Bernama hari ini.
Zakaria berkata statistik itu sangat membimbangkan kerana Kementerian Pendidikan telah menetapkan Bahasa Inggeris sebagai satu lagi mata pelajaran wajib lulus dalam SPM mulai 2016.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung usaha jabatan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negeri ini.
Zakaria berkata usaha mengadakan program Trenglish itu adalah hasil usaha jabatan awal tahun ini selepas mengumpulkan pakar-pakar Bahasa Inggeris dari pelbagai institusi pendidikan seperti Universiti Malaysia Terengganu, Universiti Sultan Zainal Abidin dan Institut Pendidikan Guru Kampus Datuk Razali untuk membincangkan usaha menjadikan bahasa utama dunia itu diminati pelajar.
"Antara pengisian program Trenglish ialah melantik seorang pembantu guru Bahasa Inggeris di 32 sekolah-sekolah terpilih 20 April lalu di mana mereka ini merupakan graduan lepasan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan atau T-Help dalam bidang Bahasa Inggeris dan program difokuskan kepada murid-murid di peringkat menengah atas iaitu Tingkatan 3, 4 dan 5," katanya.
Zakaria berkata melalui program pembantu guru bahasa Inggeris (ETA) yang merupakan graduan warga Amerika Syarikat, mereka akan membantu meningkatkan penguasaan pelajar Terengganu dalam Bahasa Inggeris komunikasi dan menggalakkan mereka mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris serta aktiviti kokurikulum bahasa itu di sekolah.
"Namun, kita tetap memerlukan T-Help ini kerana didapati kesemua 20 guru ETA agak terhad dalam pergaulan dengan pelajar dalam kelas kerana mereka kurang fasih Bahasa Melayu," katanya.
Zakaria berkata melalui pemerhatian dan interaksi beliau dengan guru-guru Bahasa Inggeris, beliau mendapati sekolah-sekolah di Terengganu masih belum dapat mewujudkan suasana atau persekitaran yang kondusif untuk proses pembelajaran dan pengajaran Bahasa Inggeris yang lebih berkesan.
"Satu lagi faktor utama ialah murid-murid kita kurang berkeyakinan untuk menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua untuk berkomunikasi," katanya sambil menambah beliau amat yakin penggunaan Bahasa Inggeris Perbualan di pertingkatkan dalam kalangan murid-murid dan warga sekolah, keyakinan mereka akan meningkat dan ini akan membantu mereka dalam Bahasa Inggeris akademik, katanya.
- Bernama
