Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Rayuan ditolak, Zahid kekal di Bagan Datoh
Diterbitkan:  Jul 7, 2014 6:00 PM
Dikemaskini: 10:13 AM

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengekalkan kemenangan bagi kerusi Parlimen Bagan Datoh di Perak apabila Mahkamah Persekutuan Putrajaya hari ini menolak dua rayuan untuk membatalkan keputusan pilihan raya bagi kawasan Parlimen itu.

    

Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria, mempengerusikan panel lima hakim, sebulat suara menolak rayuan dikemukakan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Madhi Hassan dan seorang pemilih berdaftar, Azmi Sulaiman.  

    

Beliau berkata kedua-dua perayu menyatakan 19 April 2013, sebagai tarikh Ahmad Zahid didakwa melakukan rasuah sebagai seorang calon pilihan raya.

    

Bagaimanapun, 19 April adalah tarikh menjelang penamaan calon bagi pilihan raya umum pada 2013 dan Ahmad Zahid masih belum menjadi calon pada tarikh berkenaan, katanya.

    

Madhi mendakwa Ahmad Zahid terlibat dalam rasuah dengan memberikan wang tunai RM100 dan lima kampit beras yang tertera loga BN menerusi seorang bernama R. Supramaniam dan seorang lagi bernama Mustofa Saifudin, pemilih berdaftar di kawasan itu.

    

Azmi mendakwa Ahmad Zahid telah melantik kira-kira 24,000 pekerja menerusi pembayaran wang tunai di samping memberi beras kepada individu yang bertugas dalam kawasan itu semasa pilihan raya.

    

Panel Mahkamah Persekutuan turut dianggotai hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Ahmad Maarop, Tan Sri Hasan Lah dan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.  

    

Hakim Arifin juga memerintahkan Madhi dan Azmi, masing-masing membayar RM25,000 sebagai kos perundangan kepada Ahmad Zahid.  

    

Pada 19 Februari tahun ini, Mahkamah Pilihan Raya menolak petisyen difailkan oleh Mahdi dan Azmi selepas memutuskan mereka tidak mempunyai fakta mencukupi untuk menyokong dakwaan bahawa Ahmad Zahid terlibat dalam amalan rasuah.

    

Ahmad Zahid memperoleh majoriti 2,108 undi untuk mengalahkan Madhi dalam pilihan raya umum ke-13 pada Mei tahun lepas.

    

Ahmad Zahid diwakili peguam Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin; Madhi oleh peguam Edmund Bon dan Azmi oleh peguam New Sin Yew.  

    

- Bernama

ADS