Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tengku Razaleigh Hamzah

Pada tahun 2004, setahun selepas memegang jawatan, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (kini Tun) menyertai pilihan raya umum ke-11 dan mendapat mandat terbesar dalam sejarah.

Beliau tidak melakukan segalanya secara bersendirian. Ramai pemerhati politik melihat bahawa “rakyat memberi beliau mandat besar kerana meraikan pengunduran Mahathir”.

Malangnya, Abdullah atau Pak Lah, nama timangannya yang popular, tidak pernah dapat memanfaatkan jangkaan positif yang besar daripada rakyat.

Mungkin kerana beliau tidak cukup asertif atau tidak mempunyai cukup sistem sokongan daripada rakan-rakannya dan telah berterusan diperlekehkan oleh pusat-pusat kuasa yang bersaing.

Dan mungkin juga beliau berterusan diremehkan oleh budak-budak tingkat empat yang tidak popular dan telah membantu menyatukan desakan untuk menjatuhkannya.

Pengkritik paling lantang tidak lain daripada Tun Dr Mahathir Mohamad ( atas ) sendiri.

Ramai merasakan beliau sepatutnya mengambil pelung semasa berkuasa untuk menghapuskan aspek negatif dalam pentadbiran sebelumnya, antaranya perniagaan suku-sakat atau kronisme, membetulkan sistem kehakiman yang tercemar reputasinya dan mengumumkan perang terhadap rasuah.

Apa jadi pada Islam Hadhari?

Kenyataan visinya yang paling diingati tentulah agenda Islam – Islam Hadhari. Dari satu segi, ia adalah eksklusif kerana melibatkan orang bukan Muslim.

Orang bukan Muslim sama ada mendapat satu pandangan yang salah mengenai Islam atau tidak cukup memahami apakah makna Islam Hadhari.

Apa telah terjadi kepada Islam Hadhari kini? Ia telah digantikan oleh visi Satu Malaysia oleh pentadbiran baru. Satu Malaysia adalah janji untuk menjadi lebih inklusif dan kurang sensitif.

Beliau memegang jawatan sebagai perdana menteri dengan harapan besar dan beliau sepatutnya dapat melakukan lebih banyak.

Malah slogan beliau ketika mula memegang jawatan ialah “bekerja bersama saya, bukan untuk saya”.

Beliau sepatutnya mengambil peluang melakukan perubahan kabinet, perkhidmatan awam, kehakiman dan organ kekuasaan dan pentadbiran.

Apa yang boleh dipuji, Pak Lah telah menggerakkan dua inisiatif yang boleh meningkatkan kelayakannya serta Umno.

Pertama ialah pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

Termasuk perangkap

Terma rujukan untuk IPCMC telah ditentang sejak awal dan Pak Lah tidak menunjukkan kekuatan moral yang cukup untuk meneruskannya.

Inisiatif lain yang beliau lakukan ialah pembentukan Suruhanjaya Siasatan Diraja skandal video VK Lingam.

Signifikannya Suruhanjaya ini ialah ianya menegaskan pegangan moral hakim-hakim serta anggota kehakiman bahawa mereka bertanggungjawab kepada sebab moral yang lebih besar daripada tunduk kepada badan eksekutif.

Sekali lagi, beliau gagal memastikan ia diteruskan sehingga selesai.

Abdullah melepaskan dua peluang besar untuk meninggalkan dua legasi yang penting.

Maka cara terbaik untuk menyimpulkan mengenai tempoh perkhidmatan Abdullah kepada negara ini ialah dengan mengatakan beliau gagal memenuhi jangkaan sah rakyat.

Rakyat mengatakan beliau telah gagal menterjemahkan hasrat perubahan sebenar yang dimahukan bagi negara ini.

Mungkin boleh dikatakan, beliau termasuk dalam perangkap yang sama sebagaimana ramai lagi pemimpin dunia ketiga kerana beliau juga terdorong kepada kecenderungan kuasa yang merosakkan.


Tulisan ini diambil daripada prakata penulis untuk buku terjemahan Bangkit: Tempoh Pentadbiran Abdullah Badawi di Malaysia suntingan Bridget Welsh dan James UH Chin yang bakal berada dalam pasaran.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS