Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan tanggapan wujud “tujuan politik” dalam langkah terbaru untuk mengkaji semula kedudukan pengerusi dan ahli lembaga anak syarikat milik kerajaan Selangor.
 
Ketika ditanya, menteri besar menafikan bahawa ia mensasarkan para pengikut pencabar terdekatnya bagi jawatan itu, Azmin Ali.
 
Khalid berkata, ia sebaliknya bertujuan untuk menyingkirkan individu “tidak baik” dalam syarikat bawah Perbadanan Menteri Besar yang tidak menunjukkan pencapaian cemerlang.
 
"Kita hanya buang yang tidak baik, bukan yang baik,” katanya ketika ditanya dalam satu sidang akhbar di majlis berbuka puasa bersama media di Subang Jaya malam tadi.
 
Ditanya lanjut, Khalid juga berkata langkah tersebut tidak melibatkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana syarikat tersebut ditubuhkan mengikut peruntukan undang-undang berbeza.
 
Beliau berkata demikian ketika ditanya sekiranya langkah itu mensasarkan saki baki para pengikut kepada Azmin Ali dalam syarikat berkaitan kerajaan negeri.
 
Nasib yang menimpa Azmin sendiri kini masih belum jelas selepas timbalan presiden PKR itu mendakwa dipecat daripada lembaga pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor.

Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Faekah Husin dilaporkan berkata, MBI akan melakukan kajian dan meneliti pencapaian anak-anak syarikat di bawah Pemerbadanan itu dengan tujuan membuat penambahbaikan.

Katanya, ia termasuk mengkaji semula kedudukan pengerusi syarikat dan ahli lembaga pengarah dan pengurusan tertinggi di semua anak syarikat milik penuh kerajaan Selangor yang diletakkan di bawah MBI.

Sementara itu Khalid turut ditanya mengenai desas-desus bahawa Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor akan membuat undi tidak percaya ke atas beliau.

 
Khalid berkata, beliau tidak kisah dengan cakap-cakap seperti itu kerana tindakan tersebut sememangnya berhak dilakukan oleh ahli Dewan, namun enggan membuat sebarang spekulasi lanjut.
 
"Ya, (saya) tidak kisah. Ia sudah ada dalam peruntukan (undang-undang). Apa pun boleh dibuat mengikut peruntukan itu," kata beliau.

ADS