Kerajaan Pulau Pinang menafikan dakwaan bahawa seniman agung kelahiran Pulau Pinang, P Ramlee telah dipinggirkan daripada promosi dan perayaan Warisan George Town.
George Town menyambut ulang tahun sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco pada 7 Julai - tahun keenam sejak memperolehi anugerah berprestij itu pada tahun 2008.
Dua surat, yang serupa kandungannya, tetapi atas nama penulisnya yang berlainan dan disiarkan dalam akhbar The Star dan New Straits Times semalam, mendakwa "hilang (daripada perayaan itu) ialah seniman agung P Ramlee".
Pengarah Eksekutif Institut Pulau Pinang (badan pemikir tajaan
kerajaan negeri), Zairil Khir Johari (kiri) berkata acara khusus bagi memperingati seniman agung itu dianjurkan setiap tahun di negeri itu.
Beliau dengan tegas menafikan bahawa kerajaan negeri telah meminggirkan seniman agung itu, dengan berkata Pulau Pinang telah menganjurkan acara tahunan Festival P Ramlee pada 2012, manakala edisi 2014 pula sedang dirancang.
Festival tersebut, jelasnya, dianjurkan bukan sahaja untuk memperingati P Ramlee tetapi juga untuk menghargai sumbangannya kepada industri filem dan muzik negara.
Zairil yang juga MP Bukit Bendera menegaskan demikian dalam satu sidang akhbar semalam.
Acara itu, tambahnya, terbuka kepada semua peringkat masyarakat,
termasuk ahli akademik dan pakar-pakar dalam bidang berkenaan.
"Kami merancang untuk mengadakan acara-acara seperti itu setiap tahun," katanya.
Zairil berkata institut itu juga telah menganjurkan forum, dialog dan pertandingan lagu untuk memperingati P Ramlee.