Susuk individu yang sedang lena di hentian bas, kaki lima mahupun di mana-mana bangku di hadapan deretan premis perniagaan seringkali menyapa pandangan sesiapa sahaja yang berjalan di ibu kota.
Entah di mana silapnya, malah bukan sedikit bantuan dan sumbangan yang dihulurkan pelbagai pihak, ia masih belum berjaya membantu kumpulan bergelandangan ini keluar daripada masalah yang membelenggu mereka.
Langkah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang meninjau dan cuba menyelami masalah golongan gelandangan baru-baru ini telah menunjukkan teladan kepimpinan menurut Islam.
Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Al-Quran dan Al-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Fadlan Mohd Othman berkata pendekatan yang diamalkan Rasulullah SAW sepatutnya menjadi contoh penyelesaian.
"Dalam satu hadis riwayat Abu Hurairah ada menyebutkan tentang Ahlul Suffah, yakni satu tempat khusus di masjid Madinah bagi kumpulan gelandangan dan fakir miskin yang kebanyakannya merupakan golongan muhajirin yang berhijrah ke Madinah.
"Ahlul Suffah ini dianggap sebagai tetamu-tetamu Islam, maka perlu difahami bahawa pada zaman nabi, tanggapan dan layanan masyarakat kepada golongan ini adalah dalam bentuk penuh kasih sayang," katanya kepada Bernama .
Katanya golongan itu sering dikunjungi Rasulullah SAW serta para pemimpin dan "ini perlu ditekankan dalam kalangan pemimpin negara kita."
Fadlan berkata golongan gelandangan sebenarnya haruslah didekati dan diberi motivasi serta pengisian kerohanian supaya mereka bersabar menghadapi dugaan dan mahu berubah.
"Mereka tidak pilih untuk jadi gelandangan dan ini juga berlaku pada zaman nabi cuma dalam keadaan yang berbeza. Pada masa hijrah, mereka ini tiada keluarga jadi ada tempat yang dikhaskan untuk mereka.
"Selain itu, Rasullullah juga sering menziarahi dan mengajar mereka tentang Islam dan cara-cara membaca al-Quran dengan betul," katanya.
Pengarah Eksekutif Sekretariat Yayasan Ihtimam Malaysia Zakuan Sawai pula berkata pendekatan secara kerohanian lebih berkesan untuk mendekati golongan bermasalah termasuk gelandangan.
"Gunakan konsep bermesra dan bukannya menghukum. Kita kenal pasti kenapa mereka jadi begitu. Maklumat yang kita dapat ini kita akan salurkan kepada agensi atau kementerian yang bertanggungjawab," katanya.
Yayasan Itihmam yang ditubuhkan pada 2011, bergerak aktif membantu kumpulan bermasalah seperti penagih dadah, transgender, pelacur serta gelandangan melalui pelbagai aktiviti dan program bantuan.
Sehingga kini, ia mempunyai lebih 300 sukarelawan berdaftar yang akan turun padang mendekati kumpulan sasaran berkenaan.
Zakuan mencadangkan penubuhan sebuah agensi penyelaras bagi memantau usaha pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) Islam, selain menggesa NGO di peringkat tempatan memainkan peranan masing-masing.
"Biasanya orang bermasalah tak tahu mana nak tuju. Jadi tugas kita untuk berikan panduan dan bawa mereka ke pihak yang sepatutnya.
"Isu 'sahabat jalanan' ini bukan setakat di Kuala Lumpur, di bandar-bandar lain juga ada. Masyarakat juga perlu ada rasa simpati. Masalah ini takkan selesai dalam masa yang singkat. Jadi, usaha perlulah berterusan," tegas Zakuan.
Dalam pada itu, Fadlan berkata peranan institusi zakat juga perlu ditambah baik untuk memastikan masalah keciciran dapat dikurangkan.
Selain itu, katanya peranan masjid juga perlu diperluas kepada institusi bersifat kemasyarakatan dan bukan hanya sebagai tempat ibadah serta aktiviti ilmiah.
Tambahnya, berdasarkan pemerhatian, masjid-masjid di Malaysia jauh ketinggalan berbanding di Singapura yang menjadikan masjid sebagai pusat sehenti untuk pengajian dan perniagaan.
"Bagaimanapun, dari sudut gelandangan masih belum jelas. Mungkin Malaysia boleh melangkah ke depan dan usahakan perkara ini. Walaupun, kita ketinggalan, tidak bermakna kita tak boleh menyaingi," katanya.
Sebenarnya terdapat beberapa langkah yang telah diambil oleh kerajaan bagi mengatasi masalah geladangan dan antaranya mewujudkan sistem e-Kasih iaitu satu pangkalan data keluarga miskin bagi membantu merancang, melaksana dan memantau program kemiskinan pada 2007.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga telah menubuhkan Anjung Singgah pada 2011 sebagai pusat sehenti intervensi bagi membantu golongan gelandangan.
Kementerian itu menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat juga dijangka melancarkan Ops Qaseh bulan ini dalam menangani masalah berkenaan.
Namun pendekatan menurut Islam haruslah dititikberatkan agar golongan geladangan ini dapat mengubah kehidupan mereka dan tidak mengambil jalan mudah untuk menjadi "gelandangan yang terbela" sahaja.
- Bernama
