Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kumpulan ingatkan bahaya formasi tanah MRT
Diterbitkan:  Jul 14, 2014 2:23 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Walaupun mendapan besar di ibu negara baru-baru ini bukan disebabkan pembinaan sistem Transit Aliran Massa (MRT), persoalan keselamatan projek mega bagi menghubungkan Kajang-Sungai Buloh itu tetap menggusarkan orang ramai.

Persoalan keselamatan itu muncul kembali rentetan insiden lain seperti kejatuhan cerucuk logam di Pusat Bandar Damansara di ibu negara dan paip pecah di Mutiara Damansara, di Petaling Jaya.

Perkumpulan longgar pemantau projek itu, MRT Watch hari ini membangkitkan berhubung kerja-kerja menggali terowong 9.5 kilometer yang melingkari di bawah pusat ibu kota yang didakwanya berisiko.

Lebih-lebih lagi, menurut kumpulan itu, pakar berpendapat, tugas itu berdepan kesukaran dan bahaya kerana tanahnya didakwa daripada formasi Bukit Kenny (struktur batu pejal dan berpasir), yang kurang stabil.

“Tidak dapat dibayangkan kiranya tragedi ngeri berlaku kepada pembinaan terowong di tengah-tengah ibu kota ini,” kata MRT Watch.

Dalam kejadian awal bulan ini itu, sebahagian struktur terowong bawah tanah di simpang empat Jalan Imbi runtuh sedalam lima meter setelah berlaku mendapan tanah dipercayai berpunca daripada paip air bawah tanah yang pecah.

Dalam kenyataannya hari ini, MRT Watch juga berkata, penggalian juga kemudiannya akan berdepan Formasi Batu Kapur, yang didakwa berdekatan dengan stesen Bukit Bintang, Pasar Rakyat, Cochrane dan Maluri.

Manakala selatan Maluri pula dikatakan berada dalam formasi tanah lebih kompleks – terdapat air banyak dalam tanah dan tidak begitu stabil.

Semua itu, kata kumpulan itu, pastinya menjadi kombinasi menggerunkan bagi warga lembah Klang, terutamanya pengguna jalan raya.

“Projek sebegini rumit memerlukan kepimpinan yang berkebolehan serta berkemahiran tinggi dengan kredibiliti yang jitu untuk memastikan perlaksanaan yang berkesan,” kata MRT Watch.

MRT Watch, yang menjalankan kempen pemantauan itu memperkenalkan diri mereka sebagai kumpulan “rakyat biasa Malaysia yang mahukan pelaksanaan projek MRT secara bertanggungjawab”.

Malaysiakini sudah menghubungi pihak MRT dan masih menunggu reaksi daripada pihak tersebut.

ADS