BERITA Malaysiakini

Exco kecam bekas CJ dan tegaskan Islam tak terancam di P Pinang

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Exco Kerajaan Pulau Pinang yang bertanggungjawab bagi hal ehwal Islam, Abdul Malik Kassim mengecam bekas Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad yang mendakwa bahawa Islam terancam di negeri majoriti bukan Islam itu.

Malik menyifatkan dakwaan bekas ketua hakim itu sebagai "karut sama sekali, tidak berasas dan banyak bergantung kepada khabar angin".

Beliau menggesa Hamid membuktikan dakwaannya dan berkata sebagai seorang bekas hakim tertinggi di negara ini, Hamid sepatutnya lebih tahu daripada membuat dakwan yang tidak disokong dengan bukti.

Malik (kanan) berkata beliau mempunyai fakta dan angka untuk membuktikan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan lebih banyak dana kepada badan-badan Islam sejak Pakatan Rakyat mengambil alih Pulau Pinang pada tahun 2008.

"Saya mencabar Hamid untuk membuktikan dakwaan bahawa kedudukan Islam terancam di Pulau Pinang. Saya mencabarnya untuk membuktikan bahawa kita tidak memberi peruntukan negeri yang mencukupi kepada badan-badan Islam," kata Malik ketika dihubungi Malaysiakini.

Malek yang juga ADUN PKR Batu Maung berkata, sebagai seseorang yang berkedudukan seperti Hamid, bekas ketua hakim itu tidak sepatutnya membuat tuduhan berdasarkan khabar angin semata-mata.

"Saya mencabar beliau untuk datang ke Pulau Pinang. Saya bersedia untuk membawanya untuk melihat bagaimana Islam telah berkembang... di bawah kerajaan Pakatan Rakyat," katanya,.

Dalam ucapannya di majlis berbuka puasa dengan beberapa NGO Islam kelmarin, Hamid, antara lain, mendakwa bahawa mantan Mufti Pulau Pinang memberitahunya adalah susah mendapat peruntukan untuk aktiviti agama Islam di Pulau Pinang, kerana pemimpin agama lain juga menuntut hak yang sama.

Hamid mengingatkan jika tidak membendungnya, perkara seperti ini akan merebak ke seluruh Malaysia dan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah tidak bermakna lagi.

Hamid yang berasal dari Pulau Pinang, mendedahkan bahawa mufti juga memaklumkan kepada beliau mengenai satu kejadian semasa perasmian sebuah bangunan di negeri itu oleh timbalan ketua menteri, di mana doa dibacakan oleh seorang Padri Kristian, seorang Sami Hindu dan Imam Masjid Negeri.

Ketika dihubungi, Timbalan Ketua Menteri II P Ramasamy (kanan) mengesahkan bahawa ia telah berlaku pada bulan Februari semasa majlis pecah tanah Persatuan India Pulau Pinang.

Beliau menjelaskan bahawa majlis itu adalah upacara membabitkan pelbagai agama kerana masyarakat India yang menjadi ahli persatuan itu datangnya dari pelbagai latar belakang agama - ada yang beragama Islam, Kristian, Buddha dan Sikh - yang menghadiri majlis pecah tanah itu.

Pihak persatuan itu, kata Ramasamy, mahu  memastikan majlis itu membabitkan semua orang dari pelbagai agama, termasuk ahli persatuan itu yang beragama Islam.

"Bagi saya, majlis seperti itu seharusnya dipuji kerana ia mencerminkan semangat Malaysia yang sebenar. Saya tidak nampak apa yang salah mengenainya kerana ia adalah salah satu perkara yang terbaik yang telah berlaku," katanya.

[Baca berita penuh]