BERITA

Ceramah PKR hentam Khalid malam tadi

Radzi Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 10 Ogs 2014, 3:29 pagi

Beberapa jam selepas memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pimpinan tertinggi PKR muncul di ibu negeri Selangor bertemu rakyat  dan buat pertama kalinya, tidak mengkritik kerajaan BN.

Seramai 400 hadirin di Seksyen 19 Shah Alam yang kebanyakannya penyokong PKR sebaliknya mendengar ucapan pemimpin kanan parti menceritakan  "masalah-masalah" menteri besar sejak 2008 yang kini perlu digantikan.

Kebanyakan mereka memberi reaksi terkejut dan bersetuju apabila mendengar satu persatu kesalahan Khalid sepanjang pentadbiran negeri dari masalah jalan berlubang dan sampah sehingga dakwaan beliau bekerjasama dengan tokoh yang rapat dengan Umno untuk menyelesaikan masalah peribadinya.

MP Ampang Zuraida Kamaruddin memanaskan malam dengan menyatakan kegagalan Khalid menyelesaikan masalah jalan raya dan air di kawasan beliau.

Beliau yang turut dijangka mempertahankan jawatan ketua wanita PKR pada pemilihan parti ini menyindir Khalid kerana bersikap sombong dan membelakangkan parti dalam pelbagai isu.

"Kita bukan pilih "acong" atau "ane" mana jadi  presiden. Ini Presiden parti pun beliau (Khalid) tidak mahu layan," kata beliau diikuti dengan gelak tawa dan sokongan daripada hadirin yang hadir.

Zuraida berkata Khalid bertindak sombong apabila menyatakan beliau menjadi menteri besar kerana rakyat dan kini melupakan parti.

Beliau mengesyorkan agar Khalid menubuhkan parti baru jika ingin terus menjadi menteri besar.

"Saya MP Ampang kalau parti tak letak saya di Ampang adakah saya jadi YB di Ampang?

"Kalau tak nak ikut parti, baik dia buat parti sendiri jadi menteri besar sendiri.

"Tapi, boleh menangkah?" kata beliau dibalas dengan laungan "Tidak!" oleh hadirin.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan pengarah strategi parti Rafizi Ramli mengulang kepada hadirin mengapa Khalid patut diturunkan dengan masalah hutang Bank Islam beliau.

Bagaimanapun hadirin sedikit kecewa kerana Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diberitahu sepatutnya datang tidak muncul.

Saifuddin ketika ditemui wartawan selepas ceramah menyatakan Anwar sedang menemui "seseorang yang amat penting."

Tumpuan ceramah itu Wan Azizah merupakan satu-satunya pemimpin yang tidak mengulas langsung mengenai Khalid.

Bakal menteri besar Selangor itu sebaliknya menceritakan kisah sedih hidup beliau selepas Anwar ditangkap dan dipenjarakan pada ketika permulaan Reformasi PKR.

"Saya tak mahu panjangkan isu menteri besar, biarlah Datuk Saifuddin dan saudara Rafizi menjelaskannya.

"Saya datang jumpa tuan puan malam ini nak berkongsi kehidupan saya. Bagaimana deritanya saya dan anak-anak hidup tanpa suami," katanya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.