Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khalid: Sultan perkenan saya kekal MB
Diterbitkan:  Aug 11, 2014 6:28 AM
Dikemaskini: 7:51 AM

Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini berkata sultan Selangor memberi perkenan supaya beliau kekal sebagai menteri besar walaupun dipecat daripada PKR.

Beliau mengumumkan demikian selepas mengadap Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah di Klang pagi ini.

Khalid juga berkata beliau telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatannya sebagai ahli PKR, beliau masih memperolehi kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.

Dewan Undangan Negeri Selangor mempunyai 56 kerusi, iaitu DAP 15, PAS (15), BN (12) dan PKR tinggal 13 ADUN selepas memecat Khalid dari parti itu.

Dalam sidang media di pejabatnya Selepas itu Khalid mengatakan beliau tidak akan mempertimbang menyertai mana-mana parti termasuk PAS selagi tidak membersihkan namanya.

Beliau turut menyatakan masih tidak mempertimbangkan untuk membuat rayuan kepada PKR agar diterima semula selepas dipecat Sabtu lalu.

"Sebelum saya pertimbangkan, saya perlu bersihkan diri saya dari tohmahan-tohmahan yang saya hadapi," kata beliau.

Khalid berkata sesiapa yang mendakwa beliau tidak mendapat sokongan majoriti dewan haruslah membuktikannya atau membuat laporan kepada sultan.

"Dia boleh buat begitu (berkata saya hilang sokongan) dengan buat laporan kepada sultan. Buat masa sekarang sultan tak terima laporan saya tiada sokongan majoriti," kata beliau.

Berikut adalah kenyataan penuh Khalid Ibrahim

Saya telah menghadap DYMM Sultan Selangor hari ini pada 11 Ogos 2014, 9 pagi di Istana Alam Shah Klang untuk memaklumkan kedudukan saya sebagai Menteri Besar Selangor selepas pemecatan saya sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Dalam pertemuan tersebut, saya telah sembah maklum kepada DYMM Tuanku bahawa saya telah dipecat daripada PKR pada 9 Ogos 2014 oleh Lembaga Disiplin PKR.

Lanjutan daripada pemakluman saya, DYMM Tuanku telah bertanyakan sama ada saya masih memperolehi kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.

Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya sebagai ahli PKR, saya masih memperolehi kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.

Justeru, DYMM Tuanku berpuas hati dengan penjelasan yang telah disembahkan dan selanjutnya DYMM Tuanku telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor.

Sehingga ada perkembangan baharu, saya masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

Lihat Komen
ADS