Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Krisis meruncing, peluang Azmin muncul kembali?

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali masih berpeluang menjadi menteri besar baru Selangor walaupun partinya mencalonkan Presiden Datuk Seri Wan Azizah Ismail sebagai calon pengganti Tan Sri Khalid Ibrahim.

Peluang Azmin, pengkritik awal pentadbiran Khalid, dilihat masih terbuka untuk mendapatkan sokongan PAS untuk ke jawatan itu.

Ini ekoran pendedahan bahawa PAS sedia menarik balik sokongan kepada Khalid tetapi meminta nama baru sebagai calon penggantinya.

Malah, daripada sudut hierarki, Azmin merupakan pemimpin paling kanan dalam PKR selepas Azizah, yang menganggotai Dewan Undangan Negeri. Beliau juga pengerusi PKR Selangor.

Malaysiakini difahamkan, dalam mesyuarat semalam di kalangan pemimpin atasan PAS, mereka sepakat bersama Pakatan Rakyat dan menarik balik sokongan pada Khalid ekoran pemecatannya daripada PKR.

Perkara itu dikatakan antara empat lagi keputusan dicapai semasa mesyuarat itu.

PAS bagaimanapun difahamkan mahu PKR mencalonkan nama lain untuk mengisi jawatan itu dan bukannya Azizah.

Keputusan itu bagaimanapun belum mengambil kira perkembangan hari ini, di mana Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenan Khalid untuk kekal di jawatannya.

PAS hanya akan membuat kata putus selepas mesyuarat jawatankuasa pusat untuk memuktamadkan pendirian mereka.

Keadaan itu sekali gus meletakkan tekanan di bahu PKR untuk mengemukakan nama baru untuk pertimbangan rakan komponen Pakatan Rakyat.

Justeru, jika PAS dapat berdiri teguh di belakang Azmin, anggota parlimen Gombak dan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu mampu tampil sebagai calon mapan untuk jawatan itu.

[Baca laporan penuh]

Lihat Komen
ADS