Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan Kelantan mempertahankan rancangannya untuk menghalang golongan lelaki menonton Kejohanan Bola Jaring Beliawanis Kelantan yang akan berlangsung bulan depan.

Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata penganjur juga berhak memperkenalkan sebarang peraturan baru yang tidak menjejaskan peraturan permainan sedia ada.

"Menjadi hak kepada penganjur mana-mana sukan untuk memperkenalkan apa jua peraturan yang difikirkan perlu dan tidak menjejaskan peraturan permainan tersebut sendiri demi kelangsungan kejohanan yang dianjurkan," kenyatan itu dipetik.

Tambahnya, halangan serupa pernah dibuat ketika kerajaan negeri menganjurkan kejohanan sukan wanita negeri, Nisa' Games pada 2007.

Katanya, perlawanan Nisa' Games yang turut mengharamkan penonton lelaki itu mendapat sambutan positif dari peserta dan penonton.

Jelasnya, langkah itu selari dengan dengan dasar Membangun Bersama Islam dan bertujuan untuk memberi lebih keselesaan kepada pemain wanita.

'Jangan politikkan isu'

"Sekalipun pakaian peserta muslimah sudah menutup aurat, namun sukan bola jaring yang melibatkan pergerakan aktif dikhuatiri akan mengakibatkan pendedahan aurat sekaligus mengakibatkan kurangnya keselesaan di pihak pemain.

"Perlulah diingatkan bahawa menjadi hak kepada penganjur mana-mana sukan untuk memperkenalkan apa jua peraturan yang difikirkan perlu dan tidak menjejaskan peraturan permainan tersebut sendiri demi kelangsungan kejohanan yang dianjurkan.

"Diharapkan kepada pihak berkenaan agar tidak mempolitikkan isu ini demi kebaikan bersama," katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau mengulas kenyataan MCA yang menyifatkan keputusan melarang kehadiran penonton lelaki untuk perlawanan bola jaring itu sebagai "langkah terkebelakang”.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Strategik dan Penyelidikan MCA Datuk Lua Choon Hann berkata pengharaman itu tidak bijak dan boleh memusnahkan sukan itu.

'Langkah terkebelakang'

Lua berkata, sukan tersebut sepatutnya dipromosi di Kelantan melalui usaha meningkatkan kefahaman dan tontonan awam.

“Tetapi kerajaan Kelantan, sebagai penganjur bersama mengambil langkah terkebelakang dengan mengharamkan penonton lelaki.

"Pengharaman ini pastinya memberi kesan kepada jumlah penonton dan mengekang popularitinya. Lebih teruk, ia bakal menjadikan Malaysia bahan ketawa," katanya dalam kenyataan itu.

Laporan New Straits Times Online semalam menyebut, perlawanan dari 6 September hingga 25 Oktober itu melibatkan pasukan dari 14 kawasan parlimen di negeri itu.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Kelantan Dr Ramli Mamat yang dipetik dalam laporan itu berkata, perlawanan akan dilangsungkan dalam gelanggang tertutup dan peserta dikehendaki memakai pakaian longgar sepanjang pertandingan.

Lihat Komen
ADS