BERITA

Anwar tak setuju serang peribadi Khalid

Radzi Razak

Diterbitkan
Dikemaskini 24 Ogs 2014, 7:58 pagi

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju ke atas sebarang serangan secara peribadi kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut beliau walaupun perlu memberi penerangan kepada rakyat mengenai sebab PKR memecat menteri besar Selangor itu, hanya fakta perlu dipertengahkan dan bukan keikhlasan dan peribadinya.

"Walaupun memberi penerangan, mungkin boleh lakukan dengan lembut dan sederhana sehingga tidak menyinggung perasan. Tapi fakta harus disampaikan.

"Tapi jangan serang secara peribadi. Saya tak setuju. Ini soal kepedulian. Iktiraf keikhlasan dan sumbangan beliau," kata Anwar dalam perutusan khas beliau di Kongres Nasional PKR hari ini.

Anwar yang menganggap Khalid sebagai sahabat dan keluarga kepada beliau dan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail turut mengakui dilihat lemah kerana isu ini.

Namun beliau bertegas ia tidak ada kena mengenai dengan pemberian kontrak kepada ahli parti.

Bagaimanapun beliau berkata secara peribadi telah bertemu sendiri dengan Khalid meminta beliau mendengar rungutan ahli pari lain.

Azmin (Ali) tahu. PKR Selangor meminta tindakan (kepada Khalid) bertahun-tahun. Saya pegang tangan Khalid, cakap dengarlah sikit, bukan soal kontrak, jawatan," kata beliau.

Khalid yang dipecat parti 9 Ogos lalu diminta meletakkan jawatan menteri besar berikutan didakwa kehilangan sokongan daripada 30 anggota Dewan Undangan Negeri Selangor termasuk dua daripada PAS.

Khalid semalam berkata beliau akan mengumumkan tarikh untuk menghadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah esok bagi membincangkan dan mendapat nasihat berhubung isu krisis menteri besar itu.

Anwar dalam pada itu turut berharap Khalid akan membantu pada perubahan yang licin bagi memberi laluan kepada Wan Azizah sebagai menteri besar kedua PKR.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.